Lelaki Nigeria parah ditetak dalam kedai

Mangsa parah diserang sekumpulan lelaki warga Nigeria di sebuah premis di Alam Jaya, Cheras, kelmarin.
Mangsa parah diserang sekumpulan lelaki warga Nigeria di sebuah premis di Alam Jaya, Cheras, kelmarin.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki Nigeria cedera parah ditetak sekumpulan lelaki dipercayai rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah premis serbaneka di Alam Jaya, Cheras, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 12.34 tengah hari di mana mangsa berusia lingkungan 30-an telah dikejar tiga lelaki warga Nigeria.

"Dalam kejadian terbabit, mangsa yang baru selesai membeli barang-barang di premis itu kemudiannya berlari meluru masuk semula ke dalam premis untuk menyelamatkan diri ekoran dikejar oleh ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang.

"Mangsa kemudiannya telah ditetak di dalam kedai tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pekerja premis yang terkejut dengan kehadiran mangsa dan suspek telah melarikan diri akibat ketakutan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di ibu jari tangan, tangan kiri, dada serta kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan memburu kesemua suspek terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurfaezatul Akma Rofiee di talian 017-5443931.

Artikel Berkaitan: