Politik baharu Sabah - siri 2

No Image Caption
A
A
A

RAKYAT Sabah selalu tertanya kenapa kebanyakan harga barangan di Sabah lebih tinggi daripada Semenanjung?

Alasan yang selalu diberikan ialah kerana kos penghantaran barangan dari Semenanjung (lokasi asal di mana kebanyakan barangan tersebut di buat atau diimpot dari luar negara) ke negeri Sabah mahal.

Kata mereka, kos penghantaran yang tinggi itulah yang menjadi faktor utama kenapa harga barangan di Sabah tinggi berbanding dengan Semenanjung.

Sebagai seorang lulusan bidang ekonomi, saya bersetuju dari segi teori ekonomi, alasan itu munasabah. Kalau kos tinggi, maka harga jualan juga tinggi.

Yang peliknya, teori ekonomi ini langsung tidak terpakai di Semenanjung. Semua negeri-negeri di Semenanjung mempunyai harga yang sama kerana kebanyakan perusahaan dan perniagaan di Semenanjung akan mempunyai dua senarai harga iaitu harga Semenanjung dan harga Sabah dan Sarawak yang lebih mahal dari harga Semenanjung.

Ambil contoh harga Proton Saga.

Kalaulah kos penghantaran menjadi alasan, kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan harga Proton Saga di Selangor di mana kilang Proton berada?

Bukankah semua kereta Proton yang dijual di Kelantan juga melibatkan kos penghantaran dari Selangor ke Kelantan? Sepatutnya pembeli Proton Saga di Kelantan membayar harga yang lebih tinggi dibandingkan dengan pembeli Proton Saga di Selangor kerana kos penghantaran kereta tersebut dari Selangor ke Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan harga Proton Saga di Selangor? Dan kenapa pula harga Proton Saga di Sabah lebih mahal dari Proton Saga di Selangor?

Jawapannya mudah. Ini diskriminasi ekonomi.

Kenapa perlu membeza-bezakan wilayah di Malaysia ini? Kalau harga di negeri-negeri di Semenanjung tidak dibezakan walaupun ada kos pemh, harga di Sabah dan Sarawak juga tidak patut dibezakan.

Pada saya kalau pun ada negeri yang patut diberikan keutamaan harga rendah, negeri Sabah dan Sarawak jauh lebih layak dari negeri-negeri di Semenanjung.

Sudahlah penduduk di Sabah dan Sarawak lebih miskin berbanding dengan penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula adalah penyumbang utama pendapatan minyak negara. Nampak tidak diskriminasi dan ketidakadilan ekonomi yang berlaku di depan mata kita?

Dalam pertemuan saya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada bulan Julai 2018, saya telah menerangkan kepada beliau mengenai isu ini dan seterusnya mencadangkan agar dasar “Satu Negara, Satu Harga” ini dimasukkan ke dalam cadangan otonomi Sabah yang saya telah cadangkan sebelum itu kepada beliau. Alhamdulillah, Presiden UMNO memahami aspirasi rakyat Sabah.

Justeru itu, UMNO Sabah mahukan supaya satu dasar baru “Satu Negara, Satu Harga” dilaksanakan di Malaysia supaya tidak wujud diskriminasi ekonomi.

Kalau ini memerlukan penggubalan undang-undang atau peraturan baharu bagi memastikan semua pengilang mematuhinya, maka UMNO Sabah mendesak agar undang-undang atau peraturan baharu tersebut digubal segera.

Tuntutan melaksanakan “Dasar Satu Negara, Satu Harga” juga akan dimasukkan dalam manifesto UMNO Sabah dalam pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti.

Terima kasih.

*Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ialah Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia