Kereta Exco Terengganu disimbah cat merah

Gambar tular yang dikongsi di media sosial mengenai kejadian kenderaan milik Exco Terengganu yang disimbah cat merah.
Gambar tular yang dikongsi di media sosial mengenai kejadian kenderaan milik Exco Terengganu yang disimbah cat merah.
A
A
A

DUNGUN - Dua kenderaan milik Exco Terengganu, Satiful Bahri Mamat disimbah cat merah dalam kejadian di Madrasah Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian itu disedari anak lelaki Exco itu ketika ingin mengambil buku teks di dalam kenderaan itu sekitar jam 1 pagi.

Katanya, kejadian melibatkan dua kenderaan jenis Toyota Vellfire dan Toyota Estima itu dilaporkan pemandu Satiful Bahri di Balai Polis Paka.

"Siasatan awal di lokasi kejadian bersama forensik berjaya menemukan sarung tangan getah berwarna ungu dipercayai digunakan suspek.

"Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat kejadian dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya, menurut pengadu, majikannya memaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 6.15 pagi pada hari kejadian dan kereta tersebut kali terakhir digunakan oleh anak perempuan Satiful Bahri.

"Majikan pengadu juga memaklumkan tidak mempunyai apa-apa hutang ataupun masalah dengan mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Baharuddin mengesahkan menerima satu lagi laporan kenderaan milik anak kepada bekas Setiausaha Pas Dungun, Norulalzahar Ali yang turut disimbah cat merah di kediamannya di Kampung Limbong, Paka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejadian itu disedari mangsa, Muhammad Hanif Norulalzahar, 21, ketika mahu keluar dari rumahnya pada jam 4.45 pagi hari sama.

Baharuddin berkata, mangsa yang merupakan pengurus di sebuah syarikat pelancongan di Setiawangsa mendapati terdapat kesan cat berwarna merah pada bahagian belakang kenderaan jenis Mitsubishi Pajero miliknya selain pada dinding rumah.

“Kediaman dua tingkat itu tidak dilengkapi CCTV dan ketika kejadian kawasan di sekitarnya gelap,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana perbuatan khianat.