Pengurangan perjawatan: Cuepacs cadang jumpa kerajaan

A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan berjumpa kerajaan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan pengurangan perjawatan dalam kementerian dan agensi kerajaan sebanyak satu peratus pada 2019.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu dan hanya mengetahuinya melalui siaran media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tular di laman sosial.

“Cuepacs tak dimaklumkan lebih awal hasrat kerajaan ini. Kita tak tahu, kita hanya tahu melalui surat siaran itu sahaja. Berbanding dahulu, kalau hasrat begini, memang akan dimaklumkan juga kepada kita.

“Bila dimaklumkan, jadi bolehlah kita beri penjelasan kepada persatuan-persatuan, gabungan Cuepacs dan penjawat awam. Sehingga hari ini kita tidak menerima apa-apa, tak dimaklumkan pun dengan hasrat kerajaan itu.

“Kita akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dalam masa terdekat. Kami harap dapat utarakan isu dan cadangan untuk pengurangan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Azih berpendapat pengurangan satu peratus adalah jumlah kecil dan mungkin tidak akan memberi kesan besar kepada perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Begitupun, beliau khuatir pengurangan sebegitu bakal menambah beban kepada penjawat awam sedia ada apatah lagi jika tiada penambahan kakitangan bagi menggantikan mereka yang bersara dan berhenti.

“Dari segi penjawat awam ini, kita lihat beban yang ada dah cukup berat. Ada yang bersara tidak diganti, ada kekosongan tidak diganti malahan nak dikurangkan pula satu peratus.

“Maka tahap stres tinggi di kalangan penjawat awam. Kami unjurkan lebih 30 peratus penjawat awam berhadapan dengan stres semasa bertugas.

“Harapan kami agar penjawat awam yang ada tidak terbeban dengan tugas bertambah disebabkan tiada pertambahan kakitangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azih berharap keputusan itu bersifat sementara kerana jika kerajaan berhasrat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, perkhidmatan awam perlu mempunyai cukup kekuatan untuk melaksanakannya.

“Kerajaan nak bagi perkhidmatan lebih kepada rakyat. Kalau nak bagi servis kepada rakyat tetapi penyampai tidak mencukupi, maka rakyat tidak akan dapat perkhidmatan seperti mana kerajaan harapkan.

“Mungkin masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia