Cikgu sekolah memandu maut, kereta dihempap besi kren

Keadaan kereta dinaiki dua beranak yang rosak teruk selepas dihempap besi 'winch' dari kren yang belum dikenal pasti.
Keadaan kereta dinaiki dua beranak yang rosak teruk selepas dihempap besi 'winch' dari kren yang belum dikenal pasti.
A
A
A

KUANTAN - Seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu maut manakala ibunya parah selepas kereta dinaiki mereka dihempap besi 'winch' yang dipercayai terjatuh dari sebuah kren dalam kejadian di Kilometer 91, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa dikenali sebagai Faizal Ismail, 38, dari Felda Jengka 6, Bandar Pusat Jengka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibunya, Fatimah Mat Hussain, 72, yang parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Axia milik sekolah memandu tempatnya bekerja dipercayai dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Maran.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki dua beranak itu tiba-tiba dihempap sebuah besi 'winch' dipercayai terjatuh dari sebuah kren yang belum dikenal pasti.

"Akibat kejadian mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan.

"Pihak polis masih melakukan siasatan bagi mengesan kren terlibat. Justeru, kita minta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shafiq Azril Adlan di talian 011-14858209 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: