OKU dituduh dera anjing

Tertuduh (tengah) ketika hadir untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.
Tertuduh (tengah) ketika hadir untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Seorang lelaki kurang upaya pendengaran didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini kerana mendera seekor anjing di Jalan Berangan, November tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), K Krisnamurthy, 60, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa bertindak kejam dengan melakukan perbuatan tidak munasabah sehingga menyebabkan kesakitan terhadap anjing terbabit.

Perbuatan itu dilakukan pada 10 November 2019 jam lebih kurang 11.05 malam di Jalan Berangan menghala ke Taman Sri Wang, Sungai Petani.

Anjing yang dipercayai didera tertuduh November tahun lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.
Anjing yang dipercayai didera tertuduh November tahun lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.

Disebabkan perbuatan itu, dia telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Azizi Ngah Ahmad manakala OKS diwakili Peguam Datuk S Ganesan.

Ketika pendakwaan dibacakan, Hakim N Priscilla Hemamalini meminta jurubahasa menggunakan suara lebih kuat agar didengari OKS.

Artikel Berkaitan:

OKS mengangguk faham bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan.

Kes akan disebut semula pada 20 September depan bagi serahan dokumen.