ASB sambut ulang tahun ke-30, tawar hadiah lebih RM1 juta

Peraduan dan kempen pelaburan sempena Ulang Tahun ASB yang ke-30 yang menawarkan hadiah lebih RM1 juta.
Peraduan dan kempen pelaburan sempena Ulang Tahun ASB yang ke-30 yang menawarkan hadiah lebih RM1 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diperkenalkan pada 2 Januari 1990 dan diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), meraikan ulang tahunnya yang ke-30 bertemakan ‘Aspirasi Anda, Amanah Kami’.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, sempena ulang tahun itu, pihaknya menjemput semua pelabur untuk merebut hadiah bernilai lebih RM1 juta dengan menyertai pelbagai peraduan dan kempen pelaburan yang dianjurkan.

Infografik peraduan dan kempen pelaburan sempena Ulang Tahun ASB yang ke-30 yang menawarkan hadiah lebih RM1 juta.
Infografik peraduan dan kempen pelaburan sempena Ulang Tahun ASB yang ke-30 yang menawarkan hadiah lebih RM1 juta.

“ASB telah berkembang menjadi tabung unit amanah terbesar negara dengan pelaburan yang meluas dalam pelbagai instrumen kewangan dan syarikat utama negara di Malaysia pada hari ini.

“Sepanjang tempoh 30 tahun ini juga, ASB telah memberi pulangan dividen dan bonus sebanyak RM151.9 bilion kepada pelabur, walaupun ada ketikanya berdepan krisis kewangan dan ekonomi yang sangat mencabar,” katanya dalam perutusan beliau di sini semalam.

ASB merupakan unit amanah yang kedua dilancarkan oleh PNB selepas pelancaran Skim Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1981. ASB mempunyai ciri-ciri unik yang berharga tetap iaitu RM1 dan hanya memerlukan pelaburan permulaan serendah RM10. Sehingga 15 Jun lalu, ASB mempunyai lebih 10 juta pemegang unit dengan 169 bilion unit dalam edaran.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merakamkan penghargaan kepada semua pelabur ASB yang setia bersama sepanjang tiga dekad dan sepanjang tempoh itu, pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan demi kemudahan pelabur.

Artikel Berkaitan:

Gambar dari kiri: Ahmad Zulqarnain, Zeti, Mohammad
Gambar dari kiri: Ahmad Zulqarnain, Zeti, Mohammad

“Dahulunya, pegawai ASB perlu turun padang ke kampung dan desa untuk memperkenalkan ASB dan merekod urus niaga pelabur dalam buku pelaburan secara manual namun hari ini, kemudahan pelaburan ASB telah melalui evolusi yang bermula dari rangkaian ejen dan pejabat pos, kemudian ditingkatkan pula menerusi perbankan internet dan terkini melalui portal dan aplikasi myASNB.

“Pelabur juga kini boleh menamakan penerima untuk pelaburan mereka dalam ASB menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah. Kami berharap dengan kemudahan-kemudahan ini, lebih ramai lagi pelabur bumiputera akan memilih ASB sebagai produk pelaburan pilihan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, tujuan ASNB menganjurkan kempen dan peraduan pelaburan sempena sambutan ulang tahun ke-30 itu adalah bagi menghargai pelabur sedia ada dan juga untuk mendekati pelabur baharu.

“Kami berharap kesemua 10 juta pelabur ASB akan mengambil peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan bagi merebut hadiah menarik yang bernilai lebih RM1 juta.

“Kempen pertama ialah ‘Kumpul dan Menang’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta, manakala kempen kedua ialah ‘Jom Auto Labur’ yang menawarkan Proton Saga 1.3L Premium AT sebagai hadiah utama. Tempoh kempen ialah dari 1 Ogos hingga 17 Disember 2020,” katanya.

Kod QR yang perlu diimbas untuk menyertai peraduan dan kempen pelaburan sempena sambutan ulang tahun ASB yang ke-30.
Kod QR yang perlu diimbas untuk menyertai peraduan dan kempen pelaburan sempena sambutan ulang tahun ASB yang ke-30.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pelaburan dan peraduan sempena sambutan Ulang Tahun ASB yang ke-30, orang ramai boleh melayari https://www.asnb.com.my/asb30tahun.php atau imbas kod QR yang diberikan.