X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi tidak tunduk desakan jalin hubungan dengan Israel

Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menyokong kuat perjuangan penduduk Palestin. - Foto AFP
A
A

ARAB Saudi mungkin meningkatkan hubungan dengan Israel secara senyap-senyap berikutan negara itu mahu menarik kemasukan pelaburan asing bagi menjayakan perubahan ekonomi yang dicita-citakannya, kata beberapa penganalisis.

Sebelum ini, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara Teluk yang pertama bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu pada minggu lalu.

Persetujuan bersejarah itu yang menyaksikan Amerika Syarikat (AS) menjadi perantara secara tidak langsung meningkatkan prospek bahawa beberapa buah negara Arab akan turut mengikut jejak UAE.

Bagaimanapun, Arab Saudi masih membisu berhubung persetujuan tersebut tetapi beberapa pegawai tempatan memberi petunjuk bahawa Riyadh tidak akan mengikuti langkah itu dengan segera.

Seorang pensyarah di Universiti Essex yang pakar dalam isu hubungan dasar negara itu dengan Israel, Aziz Alghashian berkata, Arab Saudi dijangka meningkatkan lagi hubungan secara tidak langsung dengan Israel.

Arab Saudi bertegas tidak akan menjalin hubungan normal dengan Israel. - Foto AFP
Arab Saudi bertegas tidak akan menjalin hubungan normal dengan Israel. - Foto AFP

Katanya, ini adalah kerana kesan daripada perhubungan normal UAE dengan negara Yahudi itu.

"Saya berpendapat interaksi antara Arab Saudi dengan Israel akan meningkat melalui UAE," tambahnya.

Menjadi tuan rumah kepada tempat paling suci umat Islam, negara tersebut akan mengambil kira sepak teranjang politik yang sensitif sebelum mengambil keputusan mengiktiraf negara Yahudi itu.

Seperti tindakan UAE, langkah menjalin hubungan normal itu dilihat oleh penduduk Palestin dan para penyokongnya sebagai mengkhianati masalah yang dihadapi oleh mereka.

Namun, negara beraja itu didakwa sudah pun memupuk persahabatan dengan Israel secara diam-diam dengan Israel sejak beberapa tahun lalu yang dipelopori oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman walaupun bapanya, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menyuarakan sokongan dengan kuat terhadap penubuhan sebuah negara Palestin.

Berkongsi kemarahan ke atas Iran, Arab Saudi yang cuba menarik pelaburan asing bagi membiayai cita-cita Putera Mohammed dalam mempelbagaikan rancangan ekonomi melalui `Misi 2030', Riyadh dilihat semakin hampir menjalin hubungan normal dengan Israel.

Salah satu visi`Misi 2020' itu ialah projek bandar raya masa depan atau NEOM di wilayah Tabuk, pantai barat Arab Saudi bernilai kira-kira AS$500 bilion (RM2.1 trilion).

Para pemerhati berkata, negara beraja itu memerlukan pakar-pakar Israel dalam bidang pengeluaran, bioteknologi dan keselamatan siber.

"Pembinaan NEOM memerlukan keamanan dan penyelarasan bersama Israel terutamanya jika bandar raya tersebut berpeluang menjadi satu daya tarikan pelancongan," kata Mohammad Yaghi iaitu seorang penyelidik di Konrad Adenauer Stiftung, Jerman.

Penduduk Palestin menolak pelan damai yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kerana ia dianggap menyebelahi Israel. - Foto AFP
Penduduk Palestin menolak pelan damai yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kerana ia dianggap menyebelahi Israel. - Foto AFP

NEOM dibina tidak terlalu jauh dengan bandar peranginan Israel, Eilat dan dekat Laut Merah dan Teluk Aqaba.

Sementara itu, negara-negara Teluk telah meningkatkan usaha bagi mendapatkan teknologi Israel bagi memantau rakyat masing-masing selain membeli misil yang tidak mahu dijual oleh negara-negara Barat, kata Mohammad dalam satu kertas penyelidikan pada April lalu.

Arab Saudi juga didakwa berusaha untuk menyembunyikan kaitannya dengan syarikat dari Israel tetapi ia tidak mudah seperti disangka.

Pada Jun lalu, satu akaun Twitter yang dikaitkan dengan pejabat kedutaan negara beraja tersebut di Washington, Amerika Syarikat menyatakan majlis menteri-menteri Arab Saudi bersetuju untuk menggunakan khidmat firma keselamatan siber Israel, Point Software di NEOM.

Kedutaan Arab Saudi kemudian menfaikan dakwaan itu.

Seorang rabi Yahudi di Amerika, Marc Schneier yang mempunyai hubungan rapat dengan negara-negara Teluk berkata, Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman pernah memberitahunya bahawa Israel merupakan sebahagian daripada 'bahagian penting' bagi mencapai Misi 2030.

Beliau membuat komen tersebut pada AFP pada Mei lalu dan pihak berkuasa negara tersebut tidak mempertikaikan kenyataannya itu.

Walaupun beberapa pegawai Arab Saudi membisu, media yang prokerajaan di negara tersebut menguji reaksi rakyatnya dengan menerbitkan laporan-laporan tentang sokongan terhadap hubungan dengan Israel.

"Saya meramalkan masa depan yang melibatkan penubuhan secara bersama sebuah ekosistem berteknologi tinggi dalam kalangan negara (Majlis Kerjasama Teluk) dikenali sebagai 'Silikon Wadi', kata seorang perunding Israel, Nave Shachar pada minggu lalu dalam laman web Al-Arabiya.

Al-Arabiya merupakan badan penyiaran yang dimiliki oleh Arab Saudi.

Berdasarkan profail Shachar di LinkedIn, beliau sebelum ini pernah bekerja di Kementerian Pertahanan israel.

Beliau merujuk Silikon Wadi di negara Yahudi itu yang mempunyai peranan sama seperti Lembah Silikon di AS.

"Kini adalah penting Israel dan Majlis Kerjasama Teluk meningkatkan kerjasama perniagaan," ujarnya.

Para pemerhati berkata, Presiden AS, Donald Trump yang memberi sokongan terhadap Putera Mohammed dalam isu pembunuhan seorang wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi pada tahun 2018 sehingga menimbulkan kegemparan global, boleh mempengaruhi Arab Saudi supaya mengiktiraf Israel.

Namun, Arab Saudi kelihatan seperti tidak tunduk dengan tekanan Washington.

"Saya berpendapat adalah tidak dapat dielakkan bahawa Arab Saudi akan mempunyai hubungan normal dengan Israel dan kedua-dua buah negara mampu melakukan perkara besar bersama," kata penasihat Trump, Jared Kushner pada minggu lalu.

Bagaimanapun, sejak awal tahun ini, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan seperti dilaporkan dalam laman web Al Arabiya pada Februari lalu bahawa tidak ada ada pertemuan berlaku antara Putera Mohammed dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan pertemuan seumpama itu bakal diadakan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Israel, Haaretz ketika spekulasi hubungan Negara-Negara Teluk dengan Israel akan dinormalkan.

Putera Faisal juga berkata, tidak ada hubungan rasmi antara Arab Saudi dengan Israel dan negara tersebut berdiri teguh di belakang penduduk Palestin.

Sebelum ini, Trump mencadangkan satu pelan damai yang mencadangkan kewujudan sebuah negara Palestin tetapi ia berlainan daripada inisiatif Riyadh pada tahun 2002.

Bagaimanapun, kepimpinan Palestin menolak pelan itu dengan alasan ia menyebelahi Israel sekali gus menafikan penubuhan sebuah negara yang merdeka. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!