PH akui MN beri cabaran di Selangor

Adakah Pakatan Harapan mampu mempertahankan Selangor pada PRU15 nanti?
Adakah Pakatan Harapan mampu mempertahankan Selangor pada PRU15 nanti?
A
A
A

WALAUPUN berlaku pelbagai siri kejutan politik di peringkat Persekutuan dan tindakan beberapa wakil rakyat mengisytiharkan keluar parti, Pakatan Harapan (PH) di Selangor kini masih menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.

Komposisi kerusi di Selangor ketika ini ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai 17 kerusi, DAP (16 kerusi), Parti Amanah Negara (tujuh kerusi), Bersatu (dua), Barisan Nasional (lima kerusi), Bebas (lapan) dan Pas (satu).

Dengan kekuatan PH menakluki majoriti kerusi di Selangor, wujud pertanyaan mampukah pembangkang merampas pentadbiran negeri itu dan menumbangkan kerajaan yang tertubuh sejak 12 tahun lalu.

Sebelum ini, usaha BN merampas pentadbiran kerajaan negeri Selangor bukan sahaja gagal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malah dikejutkan pula dengan kemenangan PH di peringkat Persekutuan.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, PH masih kukuh di Selangor kerana PKR masih mendapat sokongan ramai.

Menurutnya, kaum Cina juga masih memberi undi kepada satu lagi parti komponen PH iaitu DAP.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Namun, katanya, dalam suasana perubahan di peringkat pusat, berkemungkinan akan berlaku perubahan sokongan penggundi Melayu daripada PKR-Amanah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Artikel Berkaitan:

“Nampaknya sukar bagi PN untuk menguasai waima majoriti mudah di DUN Selangor kecuali sesuatu yang besar berlaku, misalnya sejumlah besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berubah arah dan menyokong PN.

“Jumlah perbezaan kerusi yang besar menjadikan usaha mengambil alih kerajaan Selangor daripada PH amat mencabar. PH masih mempunyai 40 kerusi walaupun Bersatu keluar daripada kerajaan negeri sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selain itu, Nik Ahmad Kamal berkata, senario selepas PRU14 tidak banyak berubah, namun beliau tidak menolak pelbagai perkara boleh berlaku menjelang PRU15.

Katanya lagi, sentimen di peringkat kerajaan Persekutuan boleh mempengaruhi pola pengundian di Selangor pada PRU15 akan datang.

“Pola perubahan pengundi boleh berlaku. Kerusi-kerusi di luar bandar yang dimenangi oleh PKR dan Amanah juga mungkin tergugat.

“Saya tidak nampak banyak perubahan sokongan untuk DAP di kawasan bandar dan pinggir bandar. Kita mungkin juga akan melihat perubahan undi orang Melayu kepada Amanah dan PKR berdasarkan kedudukan PH secara keseluruhan yang dianggap semakin kurang mantap,” katanya.

Kejutan boleh berlaku

Beliau berkata, PH di Selangor sudah pasti akan mendapat tentangan hebat ketika PRU15 jika kerajaan PN menunjukkan kestabilan.

“Jika kerajaan sekarang menampakkan kestabilan, saya rasa penggundi Melayu dan mereka di atas pagar akan berubah kepada PN di Selangor,” katanya.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pula melihat keutuhan MN memungkinkan PH ditumbangkan pada PRU15.

Katanya, MN mampu menumbangkan PH di Selangor jika semangat kebangkitan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih dapat disemarakkan di seluruh negeri.

Noh Omar
Noh Omar

“Saya melihat peluang untuk PH tumbang di Selangor itu ada. Mengenai cabarannya, tak boleh dinafikan siapa yang mahu rampas Selangor kena dapatkan sokongan daripada bukan Melayu dan tak boleh bergantung kepada satu kaum sahaja.

“Ini kerana bilangan pengundi di Selangor boleh dikatakan 51 peratus Melayu dan 49 peratus bukan Melayu. Jadi kesedaran bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi bukan Melayu diperlukan untuk bersama kalau nak menukar kerajaan PH di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, UMNO lebih selesa dengan MN disebabkan permuafakatan yang dijalin sudah dibuktikan ketika sama-sama menjadi pembangkang.

“Semangat MN telah menaikkan semangat kami di Parlimen sehinggalah mencapai kejayaan dalam PRK di Malaysia,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Selangor, V Ganabatirau pula berkeyakinan PH akan kekal memerintah Selangor selepas PRU15.

Namun, katanya, pihaknya menjangkakan MN menjadi cabaran besar kepada PH berbanding PRU14.

Menurutnya, walaupun terdapat kegusaran PKR akan berpecah lagi namun beliau percaya pimpinan PKR sedang berusaha dengan baik untuk menyatupadukan mereka yang tinggal dalam parti.

Ganabatirau
Ganabatirau

“Mereka cuba memperkuatkan dan memperkasakan hubungan yang intim antara mereka. Mereka cuba selamatkan perjuangan yang mereka asaskan dengan begitu banyak pengorbanan,” katanya.

Dalam pada itu Pas Selangor yakin peluang untuk merampas negeri terkaya di Malaysia itu daripada PH cerah khasnya selepas kejutan dalam PRK DUN Semenyih.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, PH dapat dikalahkan di kerusi milik mereka meskipun ketika itu PH menguasai kerajaan Pusat dan negeri.

“Pas yakin peluang untuk rampas Selangor amat cerah,” katanya.

Menurutnya, UMNO dan Pas sudah pun aktif di Selangor sejak merdeka dan kedua-dua parti memiliki kekuatan akar umbi yang teguh berbanding PH.

“Kerajaan PH Selangor pula makin longgar apabila Timbalan Speaker, dua Exco dan beberapa ADUN meninggalkan kerajaan negeri.

“Dengan tahap keyakinan yang tinggi serta penerimaan rakyat, kami yakin PN lebih mantap di Selangor berbanding PH,” katanya.

Roslan Shahir
Roslan Shahir

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, PH menang bergaya di Selangor dengan memperoleh 50 kerusi. Baki lima kerusi lagi milik BN manakala satu dimiliki oleh wakil rakyat Pas.

Bagaimanapun, tindakan beberapa wakil rakyat PH yang keluar parti termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan gabungan itu kehilangan 10 kerusi DUN.

Pada 24 Februari lalu, ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan keluar PKR manakala ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pula dipecat.

Pada 5 Mac lalu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mengumumkan Bersatu bukan lagi dalam komponen PH menyebabkan secara automatik lima wakil rakyatnya bukan lagi di bawah PH.

Tidak terhenti di situ, ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula mengumumkan keluar PKR pada 13 Jun lalu.

Pada 29 Jun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya pula bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha.

Sama ada PH Selangor berjaya atau tidak mengekalkan kekuasaan di negeri ini bergantung kepada kekuatan pimpinan tertinggi PH dalam menyelesaikan kemelut politik selain usaha menguatkan kerjasama antara parti komponen.

Tidak mustahil gabungan kerjasama politik MN boleh merampas pentadbiran Selangor pada PRU15 jika PH terus menonjolkan kelemahan. Bersediakah 2.5 juta pengundi di Selangor berubah angin?