Peringatan keselamatan bahan kimia

Tragedi letupan di Beirut seharusnya diambil iktibar bagi pengurusan penyimpanan bahan-bahan kimia secara skala besar yang terdapat di Malaysia terutama di kawasan pelabuhan dan di kawasan perindustrian.
Tragedi letupan di Beirut seharusnya diambil iktibar bagi pengurusan penyimpanan bahan-bahan kimia secara skala besar yang terdapat di Malaysia terutama di kawasan pelabuhan dan di kawasan perindustrian.
A
A
A

TARIKH 4 Ogos 2020 pastinya kekal menjadi ingatan penduduk Lubnan khususnya di Beirut akibat insiden letupan berskala besar melibatkan lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat. Anggaran kekuatannya adalah bersamaan dengan letupan berkekuatan 1,500 tan TNT yang turut mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima, Jepun pada tahun 1945.

Malah, tragedi yang berlaku di pelabuhan Beirut tersebut telah direkodkan oleh beberapa pakar dari University of Sheffield, United Kingdom sebagai salah satu letupan bukan nuklear yang paling besar dalam sejarah. Lebih menyedihkan, letupan tersebut telah memberi kesan teruk terhadap penduduknya di mana lebih 220 orang telah terkorban, ribuan mangsa cedera manakala ramai lagi individu masih belum dijumpai. Tragedi itu merupakan krisis terburuk sejak perang saudara yang meletus di Lubnan sebelum ini.

Impak serius dari segi ekonomi dan krisis kemanusiaan dijangka mula menyelubungi Lubnan dalam masa terdekat. Tentunya peristiwa yang telah berlaku harus diambil pengajaran termasuk dalam aspek keselamatan pengurusan bahan kimia.

Pihak berkuasa tempatan dan pakar antarabangsa masih lagi berdebat mengenai punca letupan besar di Beirut. Terdapat pelbagai kemungkinan yang membolehkan keseluruhan ammonium nitrat yang tersimpan di pelabuhan tersebut meledak, termasuk dakwaan berlakunya kebakaran kawasan stor berhampiran yang menyimpan mercun. Terdapat juga dakwaan letupan tersebut berpunca daripada tindakan sabotaj serta dilakukan oleh pengganas.

Daripada laporan awal yang diterima, tragedi itu berkemungkinan berpunca daripada pengurusan penyimpanan bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut piawaian. Di Beirut, ribuan tan ammonium nitrat telah disimpan sejak tahun 2013 yang dikeluarkan dari sebuah kapal yang mengalami masalah.

Bahan tersebut telah tersadai di pelabuhan Beirut dalam jangka masa lama. Justeru, pelbagai perkara boleh berlaku terhadap bahan tersebut termasuk bertindak balas dengan bahan lain dan juga potensi berlakunya kebocoran tangki atau bekas penyimpanan.

Dalam konteks pengurusan, setiap bahan kimia mempunyai kaedah khas yang dikhususkan dalam setiap proses pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan.

Secara umumnya terdapat banyak peraturan dan piawaian yang dijadikan praktis di seluruh dunia dalam memastikan keselamatan pengurusan bahan-bahan kimia berbahaya. Berdasarkan kod UN NO 0222 di bawah IMDG (International Maritime Dangerous Good), ammonium nitrat tidak boleh diturunkan dari kapal sekiranya ammonium nitrat yang dibawa mengandungi lebih daripada 0.2 peratus jisim bahan mudah terbakar, termasuk sebarang bahan organik yang dikira dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Tragedi letupan di Beirut seharusnya diambil iktibar bagi pengurusan penyimpanan bahan-bahan kimia secara skala besar yang terdapat di Malaysia terutama di kawasan pelabuhan dan di kawasan perindustrian.

Penyimpanan bahan-bahan kimia yang berbahaya perlu diuruskan dengan praktis yang paling baik dan mematuhi semua piawaian yang ditetapkan.

Harus diingatkan, bukan hanya mereka yang berada dalam industri, tempat kerja, pelabuhan dan juga pengangkutan udara sahaja yang perlu menguruskan bahan kimia dengan betul. Kita yang berada di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan. Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur, kerana ia juga akan menyebabkan letupan dan kebakaran di rumah.

Tuntasnya, undang-undang dan peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap. Bagaimanapun, pematuhan yang berkesan perlu diperkasakan. Jika semua pihak mengambil berat akan perkara ini, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielakkan dari awal.

* Dr Faizuan Abdullah ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)