X

Kindly register in order to view this article
!

'Provokasi bukan ditujukan kepada Armada'

Hantaran yang dimuat naik oleh Azirul Syafiq menerusi Facebook hari ini menjelaskan mengenai insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.
A
A

TANJUNG MALIM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Malim mendakwa provokasi yang berlaku dalam satu program Barisan Nasional (BN) bukan ditujukan kepada mereka.

Ketuanya, Azirul Syafiq Sazali berkata, provokasi yang berlaku kemungkinan atas kapasiti individu, bukan ditujukan secara langsung kepada Armada khususnya Bersatu.

Menurutnya, hubungan Armada Bersatu Bahagian Tanjung Malim dengan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Pas Kawasan Tanjung Malim amat erat.

"Armada dan sayap-sayap pemuda Tanjung Malim mempunyai hubungan ukhuwah yang sangat erat serta kami juga telah terlibat dalam Program Korban Perdana baru-baru ini dan akan mengadakan pertandingan futsal antara komponen Muafakat Nasional (MN) dalam masa terdekat.

"Sekarang adalah masa untuk fokus kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang terletak di bawah Parlimen Tanjung Malim," katanya dalam satu hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden yang berlaku kepada Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang diejek ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda BN bagi PRK DUN Slim di Felda Residence Trolak yang dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Azirul Syafiq menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh segelintir hadirin pada program itu sebagai tidak wajar.

Beliau berkata, Mohd Hafez Mubin tidak seharusnya dilayan seumpama itu memandang Bersatu kini sebahagian daripada MN.

"MN perlu mengutamakan konsep penyatuan dan memahami permuafakatan yang terjalin antara gabungan parti-parti komponen. Saya menyeru agar ukhuwah dan kerjasama wajib diamalkan untuk membentuk kekuatan bagi menghadapi PRK kali ini," katanya.

Sebelum ini, insiden Mohd Hafez Mubin di 'boo' itu mencuri tumpuan, malah mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin BN termasuk Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!