PRN Sabah diteruskan selagi tiada arahan mahkamah

Dr Azmi Sharom
Dr Azmi Sharom
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap bersedia meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung perkara itu.

“Setakat ini SPR tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah. Jadi kita akan terus bersedia dengan pilihan raya ini sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, kita akan terus dengan tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang akhbar bagi urusan pilihan raya DUN Sabah ke-16 di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memohon semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah yang difailkan oleh firma guaman FT Ahmad and Co.

Terdahulu, pada tengah hari tadi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini bagi membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu, boleh diadili.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perakuan Tun Juhar berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, Musa pada sidang medianya mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN dibubarkan itu mempunyai 65 ADUN. - Bernama

Artikel Berkaitan: