Nelayan Vietnam maut terkena tembakan APMM

Shafien Mamat
Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang nelayan asing warga Vietnam maut terkena tembakan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai menceroboh perairan negara di Tok Bali, Pasir Puteh malam tadi.

Mangsa yang berusia 30 tahun dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, APMM menjalankan operasi Kuda Laut di kawasan 81 batu nautika dari Jeti Tok Bali dan bot berkenaan dipercayai menceroboh perairan negara lalu mengarahkannya berhenti.

“Ketika itu berlaku provokasi daripada nelayan warga asing berkenaan menyebabkan pihak berkuasa melepaskan tembakan dan terkena pada badan mangsa.

“Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia manakala 12 lagi nelayan asing yang berada di atas bot berkenaan ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960.

“Dalam melaksanakan penugasan ada garis panduan yang membolehkan pihak berkuasa untuk melepaskan tembakan tetapi kes ini masih disiasat. Kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan: