Tahun Baharu Cina: Kenderaan berat dilarang di atas jalan raya

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Trak tunda yang muatan melebihi 7,500 kilogram, lori kontena dan lori balak adalah antara kenderaan berat yang dilarang berada di atas jalan raya semasa operasi perayaan Tahun Baharu Cina awal bulan depan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan di sini berkata kederaan berat yang diletak dalam kategori pertama itu dilarang berada di atas jalan raya sepanjang masa pada 2, 3, 4, 9 dan 10 Feb ini.

Kenderaan berat lain yang termasuk dalam kategori itu ialah lori pengangkut rendah; treler tiang; treler pelantar; jentera berat beroda; traktor; dan lori pengangkut simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan lain, amang, bijih timah, arang batu dan bahan galian lain.

Menurut kenyataan itu larangan itu terbahagi kepada tiga kategori, dan bagi kategori kedua larangan bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi untuk tarikh yang sama.

Kategori kedua terdiri daripada lori kontena mengangkut barang selain yang mengangkut barang dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama dan sebaliknya; lori kargo yang mengangkut barang elektronik atau elektrik atau bahan industri dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri dan sebaliknya; dan lori kargo tanpa muatan yang dalam perjalanan pulang.

Kategori ketiga pula melibatkan kren bergerak dan lori pembancuh simen yang dilarang berada di atas jalan raya bermula pada 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 kilometer dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenar di jalan tertentu.- Bernama

Artikel Berkaitan: