Kontraktor berang, tampar pengawal keselamatan kunci tayar

Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mencederakan pengawal keselamatan yang mengunci tayar keretanya dalam kejadian di kawasan perumahan di Batu 9, Kajang, semalam
Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mencederakan pengawal keselamatan yang mengunci tayar keretanya dalam kejadian di kawasan perumahan di Batu 9, Kajang, semalam
A
A
A

KAJANG - Seorang pengawal keselamatan semalam cedera ditampar pemilik kenderaan yang berang tayar keretanya dikunci.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang di kawasan perumahan di Batu 9, di sini ketika mangsa sedang mengunci tayar kereta terbabit kerana diparkir di tempat yang tidak dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pengawal keselamatan itu tiba-tiba didatangi seorang lelaki dipercayai pemilik kenderaan berkenaan dan memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat sebelum bertindak menamparnya.

"Suspek yang tidak berpuas hati itu turut melakukan ugutan mahu mencederakan mangsa serta majikannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di Hospital Kajang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan satu laporan polis dibuat pada jam 5.30 petang.

Susulan itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menahan suspek berusia lingkungan 40-an kira-kira jam 1.30 pagi, keesokannya.

Katanya, suspek yang juga bekerja sebagai kontraktor telah direman tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730," katanya.

Artikel Berkaitan: