Covid-19: Tujuh lagi kes baharu daripada Kluster Tawar

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh daripada 12 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) merupakan Kluster Tawar dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kesemua kes baharu itu melibatkan generasi ketiga Kluster Tawar.

"Empat kes dikesan di Kedah dan tiga lagi di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, jumlah kes positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 46 kes.

"Sehingga hari ini, seramai 1,135 individu di Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah disaring dalam kluster ini.

"Namun tiada kes positif dikesan di Perak," katanya.

Selain itu, KKM turut merekodkan dua kes baharu positif Covid-19 melibatkan Kluster Sala.

"Justeru jumlah kes positif bagi kluster ini adalah enam kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 273 orang telah disaring di Kedah dan Pulau Pinang dalam kluster tersebut.

"Seramai 49 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan di Hospital Sungai Buloh.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 penularan dalam negara adalah 10 kes," katanya.

Menurutnya, dua kes import yang telah mendapat jangkitan dari Syria dan Filipina turut dikesan KKM.

"Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 9,212 kes dengan jumlah kes aktif 211 kes," katanya.

Beliau berkata, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat unit rawatan rapi termasuk dua memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 125 kes bersamaan dengan 1.36 peratus," katanya.

Katanya, sebanyak 17 kes yang telah pulih pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 8,876 kes iaitu 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.