Warga emas lemas motosikal masuk parit

No Image Caption
A
A
A

JERTEH - Seorang warga emas ditemui lemas apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit tali air di Kampung Geran Muda di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, mayat mangsa, Mohammad Awang, 74, dijumpai di dasar parit berkenaan pada jam 10.15 pagi tadi pada jarak dua kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 pagi dan seramai 17 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri majlis tahlil di kampungnya malam tadi. Cucu lelaki mangsa yang berusia lingkungan 30-an bertindak keluar mencari Mohammad sebelum menjumpai selipar miliknya berhampiran parit tali air, kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Beliau turut menemui kesan tayar yang menghala ke parit berkenaan sebelum menjumpai motosikal mangsa di dalamnya. Berdasarkan penemuan motosikal mangsa kita mengesyaki mangsa lemas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Muhammad Tarmimi, ketika dijumpai terdapat kecederaan pada bahagian kepala mangsa yang mungkin disebabkan kemalangan tersebut.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Besut bagi tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: