Rumah transit untuk gelandangan di Johor

Gambar Hiasan
A
A

JOHOR BAHRU — Yayasan Bandaraya Johor Bahru kini dalam proses mengenal pasti bangunan yang bersesuaian untuk dibangunkan sebagai rumah transit kepada golongan gelandangan di sini.

Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata mereka bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan NGO-NGO prihatin dalam mencapai matlamat tersebut.

Mazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri berkata rumah transit itu bukan sekadar bertujuan menjadi pusat pengumpulan golongan gelandangan malah merupakan langkah awal pihaknya dalam membantu mereka kembali berdikari.

Selain menyediakan tempat berteduh, dan menyediakan juadah makanan untuk gelandangan, rumah transit ini juga akan menjadi platform untuk yayasan dan NGO-NGO lain mengenal pasti masalah yang menghimpit gelandangan ini.

“Kita berharap dengan adanya rumah transit ini, golongan gelandangan ini tidak akan terlibat dengan gejala sosial,” kata Mazlan kepada pemberita sejurus tamat Program Jalinan Kasih Jalanan di sini, semalam.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa usaha tersebut akan menjadi realiti dengan kewujudan NGO-NGO yang peka dengan tanggungjawab sosial mereka kepada golongan yang memerlukan.

Pada program itu, Mazlan dan juga anggota NGO bersama-sama mengedarkan sumbangan yang berbentuk produk kebersihan peribadi dan makanan kepada golongan terbabit.

Salah seorang penerima sumbangan yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Yem, 53, berkata hidup di jalanan sudah menjadi lumrah dalam kehidupannnya sejak dua tahun lepas.

Lelaki yang berasal dari Mersing itu berkata masalah usus yang kronik menyebabkan beliau tidak mampu untuk bekerja seperti dahulu, lantas terpaksa meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan kebajikan dan simpati daripada masyarakat.

Wak Yem juga bersyukur kerana masyarakat setempat tidak lokek untuk menghulurkan bantuan terutamanya dari segi kewangan untuk menyara makan-minumnya. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia