Dicekup aktif pecah, curi dalam kenderaan

No Image Caption
A
A
A

BANTING - Kegiatan pecah kenderaan yang dilakukan seorang lelaki akhirnya terbongkar selepas ditahan polis di hadapan sebuah restoran di Tanjong Sepat, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi Ops kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pada 19 Julai lalu seorang lelaki berusia 31 tahun membuat laporan polis mengenai kenderaannya jenis Toyota Land Cruiser telah dipecahkan.

"Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM12,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan tiga kes pecah kereta di sekitar daerah Kuala Langat.

Beliau memberitahu, suspek dipercayai bergerak aktif sejak dua tahun lalu dengan modus operandi memerhatikan kereta yang diparkir agak lama dan jauh dari kawasan orang ramai.

"Siasatan polis juga mendapati suspek turut masuk ke dalam kawasan rumah ketika tengah malam untuk memecah cermin kenderaan dan melarikan barang berharga seperti duit sebelum menjualnya," katanya.

Tambahnya, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah itu itu telah direman empat hari bermula Sabtu lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: