X

Kindly register in order to view this article
!

Had aktiviti, operasi di kawasan positif Covid-19

Muhammad Sanusi - Foto UPDA
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengambil beberapa langkah segera bagi mengekang penularan wabak Koronavirus (Covid-19) di kawasan positif wabak itu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antaranya dengan menutup sepenuhnya taman awam dan pusat rekreasi di kawasan terbabit selain mengehadkan operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 4 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, arahan berkenaan hanya melibatkan kawasan yang terdapat kes positif direkodkan, khususnya mukim Tawar di Baling, beberapa lokasi di Yan serta daerah Kuala Muda.

“Bagi kawasan terbabit, operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

"Aktiviti penjualan makanan pula hanya dibenarkan melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran, tidak lagi dibenarkan untuk makan dan minum atau berada di kedai makan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Wisma Darul Aman malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, sehingga semalam empat kluster masih aktif di Kedah iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala dengan jumlah kes aktif sebanyak 59 kes.

Beliau turut memberitahu, penganjuran kenduri termasuk majlis perkahwinan perlu dibatalkan dan masjid atau institusi keagamaan yang terlibat dengan kes positif Covid-19 diarah tutup serta-merta bagi membolehkan proses sanitasi dan pengawasan lanjut.

Muhammad Sanusi turut mengumumkan semua acara sambutan berkaitan kemerdekaan dibatalkan dan tempat awam yang menjadi lokasi untuk sambutan berkenaan seperti Pantai Merdeka dan Pulau Sayak akan ditutup menjelang 28 Ogos ini.

“Situasi penularan Covid-19 bagi kluster Sivagangga semakin terkawal dan kes positif terakhir daripada kluster itu direkodkan pada 9 Ogos lalu. Ini hasil kejayaan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, semua usaha itu bertujuan melindungi zon hijau dan menukar zon kuning kepada hijau dalam tempoh 14 hari.

Mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa menghantar anak ke sekolah katanya, keputusan menutup sekolah tertakluk kepada Kementerian Pendidikan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Hanya individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif dikuarantin di rumah atau hospital,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai mengelakkan menularkan berita tidak sahih kerana ia mencetuskan kebimbangan yang keterlaluan.

“Kita sedang mengalami proses pemulihan, jangan tambahkan lagi kesusahan rakyat dengan cerita tak berasas. Gunakan pertimbangan sebelum menyebar berita tidak sahih dan rujuk KKM untuk kepastian,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!