Penghantar makanan buat laporan palsu elak kena denda

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan sanggup membuat laporan palsu mendakwa diragut kerana mahu mengelak daripada didenda kerana kehilangan MyKad semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, lelaki berusia 21 tahun itu membuat laporan polis pada jam 12.03 pagi dengan mendakwa dua lelaki bermotosikal meragut beg silangnya.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati terdapat beberapa keraguan sebelum lelaki terbabit mengaku membuat laporan palsu mengenai kes berkenaan.

"MyKad lelaki itu hilang ketika dia membuat penghantaran makanan kepada pelanggan. Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berasingan Zairulnizam memaklumkan statistik laporan polis palsu sejak Januari hingga 16 Ogos lalu sebanyak 13 kes dan tujuh kes telah dituduh di mahkamah.

"Ia menunjukkan terdapat peningkatan kes laporan polis palsu berbanding tahun lalu iaitu empat kes telah disiasat dan dua kes dituduh di mahkamah," katanya.

Zairulnizam memberi amaran kepada orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu mengenai kehilangan MyKad hanya untuk mengelak daripada didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

"Tindakan undang-undang akan diambil bagi mereka yang melakukan jenayah memalsukan laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan: