KK Super Mart rakan strategik Jawi Food Bank

KK Chai (dua dari kiri) ketika menerima sijil penghargaan daripada Dr Zulkifli atas usaha dan sumbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
KK Chai (dua dari kiri) ketika menerima sijil penghargaan daripada Dr Zulkifli atas usaha dan sumbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
A
A
A

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) merupakan rakan strategik Jawi Food Bank, program diperkenalkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membantu golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama sejak tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, lebih RM100,000 nilai barangan sudah disumbangkan KK Super Mart kepada Jawi Food Bank untuk membantu golongan asnaf, fakir miskin, gelandangan, mualaf dan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, kerjasama terjalin atas kepercayaan beliau bahawa membuat kebaikan tidak perlu dibataskan oleh perbezaan bangsa dan agama.

“Sebagai usahawan dan manusia biasa, saya juga pernah lalui kesusahan. Maka, tidak salah saya berbakti kepada masyarakat walaupun daripada latar belakang agama yang berbeza.

“Pertemuan dengan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail di majlis BB Charity tahun lalu merupakan takdir Tuhan untuk saya panjangkan sumbangan. Saya melihat kerjasama dengan Jawi adalah saluran yang betul untuk membantu masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai rakan strategik Jawi Food Bank, pihaknya memberi sumbangan berbentuk produk makanan dan minuman.

Menurutnya, pihak Jawi Food Bank kemudian membuat agihan barangan tersebut kepada golongan sasaran di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Melalui Jawi Food Bank, KK Super Mart turut memberikan sumbangan kepada aktiviti dianjurkan seperti program ‘Pray for Pasir Gudang’ untuk penduduk yang terlibat dengan pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dan Karnival Rahmah@KR19 di Putrajaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas KK Super Mart menerima sijil penghargaan daripada Jawi atas usaha dan sumbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Sijil penghargaan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Apresiasi Penyumbang dan Petugas Covid-19 di Hotel Tamu, Kampung Baru di sini, Rabu lalu.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Sijil penghargaan turut disampaikan kepada penyumbang dan agensi jabatan kerajaan yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut hadir dan menerima penghargaan, Menteri dari Kedutaan Republik China di Malaysia,Tang Rui.