Kolam, air bawah tanah jadi sumber alternatif kemarau berpanjangan

Ahmad Masrizal
Ahmad Masrizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengenal pasti sumber air alternatif seperti kolam atau air bawah tanah yang selamat digunakan bagi menambahkan sumber air sedia ada sekiranya negara dilanda kemarau berpanjangan.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, usaha lain yang akan diambil KASA ialah memantau paras semua sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah ke loji rawatan air di setiap negeri.

"Selain itu, KASA juga akan mengaktifkan segera Pelan Kontigensi Bekalan Air sekiranya keadaan paras sungai dan empangan menyusut kepada paras kritikal," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai persiapan negara bagi menghadapi musim panas dan kemarau berpanjangan khususnya kesan kepada kawasan tadahan air dan empangan.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, sekiranya musim panas dan kemarau bertambah buruk sehingga menjejaskan sumber air dan empangan kepada paras bahaya, beberapa langkah drastik akan diambil.

Katanya, antara langkah drastik itu termasuk melaksanakan catuan bekalan air kepada pengguna, menyediakan keperluan logistik bagi penghantaran bekalan air dan melaksanakan pembenihan awan di kawasan empangan dan tadahan air.

"KASA sentiasa bersedia menghadapi fenomena musim panas dan kemarau yang melanda negara setiap tahun.

"Bagaimanapun, rakyat perlu lebih berhemah menggunakan air dan tidak melakukan pembaziran ketika negara berhadapan kemarau," katanya.

Artikel Berkaitan: