Pulau Pinang kesal tidak dimaklumkan ketibaan pesakit Indonesia

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang kesal kerana tidak dimaklumkan tentang ketibaan tiga pesakit dari Indonesia yang disifatkan secara tiba-tiba itu bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta di negeri ini.

Susulan daripada itu, satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama pihak dan agensi berkaitan diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pagi ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.

Kon Yeow berkata, melalui mesyuarat tersebut, kerajaan negeri dimaklumkan ketiga-tiga pesakit tersebut memerlukan rawatan segera yang mana dua daripada mereka menghidap kanser.

"Semua pesakit tersebut tiba di Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu dengan menaiki pesawat khas seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) agensi kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri juga dimaklumkan bahawa mereka telah mematuhi semua SOP yang ditetapkan agensi-agensi berkaitan termasuk Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Jabatan Imigresen Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Tambahnya, perbincangan utama adalah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan SOP yang ditetapkan kerajaan Pusat berhubung kemasukan pesakit di bawah sektor Kategori Pelancongan Kesihatan ke negara ini khususnya Pulau Pinang.

"Kita mengambil maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merumuskan SOP sektor Kategori Pelancongan Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Sekali lagi saya menegaskan, kerajaan negeri tidak akan membenarkan kemasukan pesakit dari negara luar ke negeri ini sehingga KKM memuktamadkan SOP baharu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Abdul Razak untuk mengadakan mesyuarat teknikal membabitkan pelbagai agensi petang ini.

"Mesyuarat itu bagi menguruskan isu terbabit dengan lebih lanjut bagi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

"Semua agensi yang mempunyai kaitan dengan sektor Kategori Pelancongan Kesihatan adalah diwajibkan untuk memberi semua maklumat kepada kerajaan negeri supaya dapat bersama-sama menguruskan isu ini dengan lebih berkesan," katanya.

Jumaat lalu, AirAsia mengadakan penerbangan carter perubatan antarabangsa pertamanya dari Medan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan yang telah mencetuskan kontroversi di media sosial yang menyatakan kebimbangan mereka kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Indonesia serta potensi risiko penularan Covid-19 di Pulau Pinang.

Kementerian Kesihatan Indonesia kelmarin mengumumkan 2,081 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara itu kepada 139,549.