Tanaman vanila perlu dikomersialkan

Mesyuarat permulaan penubuhan Koperasi Vanila Berhad di Kuantan semalam dihadiri 100 orang termasuk 40 daripadanya yang mengikuti mesyuarat dalam talian melalui aplikasi Zoom.
Mesyuarat permulaan penubuhan Koperasi Vanila Berhad di Kuantan semalam dihadiri 100 orang termasuk 40 daripadanya yang mengikuti mesyuarat dalam talian melalui aplikasi Zoom.
A
A
A

KUANTAN - Tanaman vanila perlu dikomersialkan dalam skala besar kerana permintaan terhadap bahan itu sentiasa meningkat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, walaupun penanaman ini tidak begitu popular tetapi permintaan sentiasa ada dan harganya juga mahal.

Menurutnya, tanaman ini dilihat mempunyai nilai komersial yang tinggi seperti durian musang king dan black thorn jika ia diterokai dan dikembangkan secara meluas.

"Bayangkan, harga sekilo vanila kering mencecah RM1,500 hingga RM2,000. Jadi, vanila adalah tanaman yang dikategorikan sebagai golden crop kepada pengusahanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Vanila Berhad di bangunan Angkasa Pahang Zon 2, di sini semalam.

Abdul Fatah berkata, diharapkan lebih ramai pengusaha vanila di negara ini menyertai koperasi yang baru ditubuhkan itu bagi membolehkan pengeluaran vanila dalam kuantiti besar.

Jelasnya, gabungan daripada pengusaha membolehkan produk vanila yang dikeluarkan di negeri ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

“Permintaan terhadap produk vanila bukan hanya terhad kepada masakan tetapi juga kosmetik. Ini adalah peluang pada jangka masa panjang bagi tanaman ini.

Artikel Berkaitan:

“Kewujudan koperasi pula dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan selain menjadi sebuah entiti bisnes yang menjana keuntungan tinggi serta faedah besar kepada ahli koperasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Angkasa akan membantu dari segi khidmat nasihat, penganjuran kursus, pinjaman dan geran tahunan yang sesuai kepada koperasi.