Pembangunan MBMB diteruskan, kata KM Melaka

Adly
Adly
A
A
A

ALOR GAJAH - Pembangunan di tapak projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baharu tetap akan diteruskan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, projek yang terhenti sejak tahun lalu itu akan dilaksanakan semula menerusi pembangunan baharu setelah MBMB memilih syarikat swasta yang berminat bagi meneruskan projek berkenaan selain tender projek telah dibuka kepada mereka yang mahu meneruskannya.

Beliau yakin MBMB akan membuat keputusan yang terbaik dan antara yang turut memberikan cadangan syarikat taman tema terkemuka Sunway Lagoon memandangkan lokasi itu sesuai sebagai lokasi pelancongan selain cadangan untuk mengekalkan pelan asal bangunan itu bagi tujuan perhotelan, komersial dan sebagainya.

"Kita dah buat tender terbuka dan terima pelbagai cadangan, di peringkat MBMB akan memilih cadangan yang terbaik, ada cadangan yang hendak buat pasaraya namun wajar kita melihat cadangan ke arah pelancongan.

"Kita masih belum tahu apa yang hendak dibuat, kalau kita tengok Sunway pun ada beri cadangan tapi saya pulangkan kepada MBMB kerana mereka telah membuat tender terbuka, termasuk melihat dari segi kos dan sebagainya seterusnya memastikan Klebang sebagai kawasan pelancongan bagi selesaikan kesesakan bandar," katanya.

Tapak pembinaan asal bagi projek bangunan MBMB Klebang yang akan dibangunankan dengan pembangunan baharu yang lain.
Tapak pembinaan asal bagi projek bangunan MBMB Klebang yang akan dibangunankan dengan pembangunan baharu yang lain.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program bertemu rakyat perdana di Dewan Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah di sini, hari ini.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, pejabat MBMB akan terus kekal di bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kos kira-kira RM400 juta yang perlu ditanggung oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam tempoh 25 tahun sekiranya pembinaan bangunan MBMB diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di bawah kerajaan PH dua aspek akan terus menjadi keutamaan iaitu kebajikan pekerja dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbanding pembinaan bangunan baharu.

"Keputusan kita, bangunan MBMB kekal seperti mana hari ini kerana kita percaya dengan cara itu kita dapat meningkatkan lagi kebajikan pekerja-pekerja di MBMB dan kemampuan kewangan boleh berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Klebang rayu kerajaan teruskan pembinaan MBMB

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan mengenai warga Klebang Besar merayu kerajaan negeri supaya meneruskan semula pembinaan projek bangunan baharu MBMB di kawasan terbabit yang dihentikan pada pertengahan tahun lalu.

Bangunan berkenaan yang dirancang mengadap Selat Melaka, setinggi tujuh tingkat di kawasan seluas enam hektar dengan kos RM138 juta itu mampu menjadi mercu tanda terbaharu kepada pembangunan negeri Melaka dan kawasan Dun Klebang khususnya.