X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin, anggota pentadbiran ikrar bawa negara kembali normal

Muhyiddin mempersembahkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota pentadbiran negara kekal komited untuk membawa Malaysia kembali kepada keadaan normal selepas terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Melafazkan ikrar berkenaan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati di sini hari ini, Muhyiddin berkata, perjuangan memerangi wabak virus Covid-19 masih belum berakhir.

Selain usaha-usaha kerajaan, beliau berkata, kejayaan negara memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan adalah bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan setiap rakyat di negara ini.

"Kerajaan akan terus berusaha membendung wabak ini di samping menggesa rakyat menerap normal baharu termasuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam kehidupan harian," kata beliau.

Muhyiddin berkata, kawalan di pintu-pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan kerajaan juga telah mendahului usaha dan kerjasama dengan negara lain untuk memperoleh vaksin Covid-19.

"Patik bersama anggota pentadbiran negara komited untuk membawa negara kembali kepada keadaan normal... rakyat bebas bergerak, perindustrian dan perniagaan berjalan dengan lancar, hasil pertanian dan komoditi dapat dituai dan dijual, anak-anak kembali ke sekolah atau universiti untuk belajar, aktiviti sukan dan riadah dapat dilaksanakan dan sebagainya," kata beliau.

Untuk tujuan tersebut, beliau berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program dan projek yang akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

"Program bagi meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan, kebolehpasaran graduan dan mengutamakan rakyat tempatan akan terus dipertingkatkan," kata beliau.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata, keselamatan negara daripada ancaman sama ada dari dalam mahupun luar juga akan terus diperkukuh, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda berkenaan betapa penting kedaulatan pertiwi terus dijaga.

"Tidak ketinggalan juga kerajaan ke bawah duli tuanku akan meneruskan agenda memperkasakan integriti dan tadbir urus di semua peringkat pentadbiran termasuk dalam kalangan rakyat," kata beliau.

Bagi merancakkan semula ekonomi negara, beliau berkata, inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin Tambahan serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang berjumlah RM295 bilion, bersamaan 17 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah diperkenalkan yang memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat.

"Jumlah pakej-pakej rangsangan ekonomi tersebut merupakan antara yang tertinggi di dunia dan paling tinggi dalam kalangan negara sedang membangun. Dianggarkan pakej-pakej rangsangan tersebut mampu menyumbang lebih kurang tiga peratus daripada KDNK negara pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, sejak sektor-sektor ekonomi dibuka semula pada Jun lepas, seramai 15.7 juta pekerja telah kembali bekerja.

"Ekonomi negara kita sudah mula rancak dan insya-ALLAH dengan usaha dan sokongan semua pihak, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat," kata beliau.

Beliau berkata, semua kementerian dan jabatan juga diminta melihat semula undang-undang, peraturan dan SOP masing-masing bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas terutama di era pasca-Covid-19 yang memerlukan pentadbiran kerajaan yang pantas dan responsif. -Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!