Kadar baharu tarif air di Selangor tidak akan bebankan pengguna

No Image Caption
A
A
A

KLANG – Selangor akan menggunakan formula tersendiri dalam menentukan kadar baharu tarif air tidak membebankan pengguna di negeri ini terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berhubung kadar tarif air baharu yang akan diperkenalkan.

“Sebarang kenaikan tarif air jika ada akan saya pastikan ia tidak akan membebankan pengguna terutamanya golongan B40. Selangor ada formula tersendiri untuk menentukan kadar baharu ini agar ia tidak membebankan kerana pada masa ini kos pengurusan untuk satu meter padu air adalah RM0.96 sen sementara pengguna hanya membayar kurang dari RM0.40 sen.

“Malah semasa pentadbiran dua bekas Menteri Besar Selangor sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kepimpinan negeri memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian geran hak milik tanah dan notis 5A kepada 61 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang menyifatkan kenyataan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar pada Rabu, bahawa rakyat perlu menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan berhubung kenaikan tarif air sebagai memalukan.- Bernama

Artikel Berkaitan: