Pavithra diperintah hantar surat rasmi tarik balik tuduhan terhadap suami

Pavithra hadir ke mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberi sokongan terhadap sebutan kes Sugu hari ini.
Pavithra hadir ke mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberi sokongan terhadap sebutan kes Sugu hari ini.
A
A
A

IPOH - YouTuber masakan sensasi, S Pavithra, 28, hari ini diarahkan untuk menghantar surat rasmi bagi menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M Sugu, 29, berhubung satu kes pukul.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Hakim Norashima Khalid pada sebutan semula kes mendatangkan kecederaan yang dihadapi Sugu terhadap isterinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa ibu kepada dua cahaya mata itu mahu menarik balik kes berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 September depan sebagai sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan di bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara jam 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Norashima turut menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB di sini pada jam 6 petang hari sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sugu yang diwakili Peguam, S Sundarajan hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja kelabu dan berseluar hitam dan kelihatan gembira selepas keluar dari mahkamah.

Pavithra turut dilihat berada di pekarangan mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberi sokongan terhadap sebutan kes Sugu hari ini.