Penipuan e-dagang rekod kes tertinggi dalam tempoh PKP

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang merekod aduan tertinggi yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang enam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, sebanyak 2,500 aduan melibatkan kerugian berjumlah RM17 juta diterima PDRM dalam tempoh 18 Mac hingga 4 Ogos lalu.

"Kes melibatkan e-dagang telah meningkat ekoran peningkatan kes penipuan penjualan topeng muka akibat pandemik Covid-19," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP lalu.

Menurutnya, kes kedua tertinggi direkodkan PDRM ialah penipuan bagi pinjaman yang tidak wujud dengan 1,582 kes yang melibatkan RM18 juta.

"Kes Macau Scam pula menyaksikan kerugian RM50 juta dengan 1,001 kes.

"Sementara Love Scam dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS) pula masing-masing merekodkan 481 kes (kerugian RM18 juta) dan 91 kes atau kerugian RM800,000," katanya.

Menurutnya, bagi mengekang kes berkenaan, PDRM mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police bagi berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan jenayah dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, PDRM turut membangunkan satu portal bagi memudahkan masyarakat untuk membuat semakan nombor telefon sindiket ataupun akaun-akaun bank yang digunakan oleh sindiket dalam urusan pindahan wang mangsa ke akaun sindiket.

"Portal tersebut boleh dicapai melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan kini ianya juga boleh dimuat naik dengan menggunakan telefon mudah alih," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Abdul Azeez mengenai kekangan PDRM untuk membendung sindiket dalam talian ini, Ismail menjelaskan, PDRM berdepan dengan beberapa masalah termasuk untuk mengenal pasti identiti pemanggil, penjenayah itu menggunakan akaun pihak ketiga dan beroperasi di luar negara.

"Dalam kes melibatkan di luar negara, kita terpaksa meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti penjenayah itu.

"Selaras dengan itu juga, PDRM mewujudkan pasukan khas yang turut dianggotai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia (CSM) dan industri telekomunikasi," katanya.