Jangan rakam, tular kertas undi pos: SPR

No Image Caption
A
A
A

TANJUNG MALIM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularnya di laman media sosial.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, individu yang didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya.

SPR telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi PRK DUN Slim semalam dan daripada jumlah itu 75 untuk petugas pilihan raya dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua untuk pengundi tidak hadir luar negara manakala satu kepada warganegara Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, proses pengeluaran kertas undi pada jam 2.30 petang di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River turut dihadiri wakil calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

"Sebanyak 68 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada para pemohon manakala 10 sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab PDRM untuk diserahkan kepada anggota terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran. -Bernama

Artikel Berkaitan: