Pulau Pinang sekat pesakit luar negara

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak akan memberi kebenaran kemasukan pesakit dari negara luar di bawah sektor pelancongan kesihatan ke negeri ini dalam tempoh ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat susulan terdapat kes aktif Covid-19 baharu di negeri ini.

Menurutnya, beliau akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama semua agensi utama pada pagi ini bagi membuat keputusan lanjut berhubung isu tersebut.

"Saya akan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa Pulau Pinang tidak akan menerima pesakit dari negara luar dalam tempoh ini.

"Adalah menjadi komitmen saya untuk terus memastikan keselamatan rakyat Pulau Pinang sentiasa terjamin. Saya berterima kasih kepada semua yang memberi maklum balas berhubung isu ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kon Yeow berkata demikian bagi mengulas berhubung kemasukan pesakit warganegara Indonesia pada minggu lalu bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta di negeri ini.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai penerbangan berkaitan sehingga laporan disiarkan pada Jumaat lalu oleh syarikat penerbangan berkenaan.

"Kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan oleh pihak berkenaan berhubung kedatangan tiga pesakit dari Indonesia ke hospital swasta di sini.

Artikel Berkaitan:

"Selepas siaran berita tersebut, saya telah mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang bahawa tiga pesakit itu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agensi-agensi berkaitan termasuk Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Jabatan Imigresen," katanya.

Terdahulu, pelbagai reaksi diberikan orang ramai berhubung kemasukan tiga pesakit dari Indonesia ke negeri ini bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah sektor pelancongan kesihatan susulan kes Covid-19 di negara itu masih tinggi.

Sementara itu,14 Ogos lalu, AirAsia mengadakan penerbangan carter perubatan antarabangsa pertamanya dari Medan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat penerbangan itu bekerjasama dengan institusi perubatan dan pihak berkuasa kerajaan untuk memastikan pesakit dan pelancong perubatan dari Indonesia mendapat akses yang lebih luas kepada rawatan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan carter perubatan.

Pengumuman itu telah mencetuskan kontroversi di media sosial, yang menyatakan kebimbangan mereka kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Indonesia serta potensi risiko penularan Covid-19 di Pulau Pinang.

Kementerian Kesihatan Indonesia semalam mengumumkan 2,081 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara itu kepada 139,549.