Sathianathan tabik semangat Rufino

Aksi Rufino ketika perlawanan persahabatan menentang TFC di Stadium UiTM di Shah Alam, kelmarin. Foto: FA Selangor
Aksi Rufino ketika perlawanan persahabatan menentang TFC di Stadium UiTM di Shah Alam, kelmarin. Foto: FA Selangor
A
A
A

SEMANGAT pemain import Selangor, Rufino Segovia tetap membanggakan menjelang penyambungan semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Menurut, Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan, pemain dari Sepanyol telah mempamerkan aksi terbaik baik semasa perlawanan persahabatan berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium UiTM Shah Alam, kelmarin dengan menjaringkan satu gol pada perlawanan berkenaan.

Justeru Sathianathan berharap momentum itu diteruskan pemain kelahiran Sepanyol berkenaan bagi membantu The Red Giants melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

“Saya lihat Rufino walaupun belum pulih sepenuhnya, tetapi berjaya menunjukkan persembahan baik pada perlawanan menentang Terengganu.

“Bagi saya jika Rufino pulih sepenuhnya nanti, mungkin dia akan menjadi penyerang yang digeruni,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada aksi persahabatan itu pemain Muhammad Syahmi Safari menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-76 sebelum Rufino menyumbat gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Sementara itu, Sathianathan turut gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan Wan Zack Haikal yang dalam proses mengembalikan semula sentuhannya.

Bagaimanapun katanya, dia memahami proses itu mengambil masa berharap pemain berkenaan akan segera menemui semula sentuhannya bagi memantapkan lagi kesebelasan skuad Merah Kuning.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh Wan Zack dan berharap dia dapat kembali menemui sentuhannya.

“Namun saya faham, ia bukan satu perkara yang mudah untuk seorang pemain kembali dengan tahap kecergasan setelah mengalami kecederaan untuk satu tempoh lama,” katanya.