UAE khianati dunia Islam?

Perjanjian normalisasi UAE dengan Israel itu hanya menguntungkan negara tersebut tetapi Palestin tidak mendapat apa-apa manfaat daripadanya.
Perjanjian normalisasi UAE dengan Israel itu hanya menguntungkan negara tersebut tetapi Palestin tidak mendapat apa-apa manfaat daripadanya.
A
A
A

TINDAKAN Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menormalisasikan hubungannya dengan negara Israel dikecam sekeras-kerasnya oleh majoriti negara-negara Islam di seluruh dunia.

Perjanjian yang diumumkan Jumaat lalu itu antara lain menyebut Israel akan menangguhkan rancangan merampas secara paksa sebahagian besar kawasan Tebing Barat yang telah ditunda sejak bulan lalu kerana gagal mendapat lampu hijau Amerika Syarikat (AS) yang turut menjadi perantara perjanjian damai Israel-UAE.

Perjanjian yang dinamakan Perjanjian Abraham itu dimeterai melalui panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump; sekutu rapatnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed.

Menerusi satu kenyataan bersama, trio pemimpin tersebut sepakat untuk menjalinkan hubungan diplomatik bersejarah yang kononnya akan membawa perdamaian di Asia Barat, walaupun satu-satunya jalan untuk mencapai perkara itu adalah menerusi penyelesaian pembentukan dua negara iaitu Israel dan Palestin.

UAE adalah negara Islam keempat yang menormalisasikan hubungan dengan Israel selepas Turki pada tahun 1949, Mesir pada tahun 1979 dan Jordan pada tahun 1994.

Sejurus selepas perjanjian itu diumumkan, kepimpinan Palestin melalui jurucakapnya, Nabil Abu Rudeineh mengecam tindakan UAE dan menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan kepada Baitulmaqdis, Al-Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin.Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kebebasan Palestin (PLO), Dr Hanan Ashrawi turut menyifatkan tindakan UAE itu sebagai ‘menjual rakan sendiri’.

Selain itu, Turki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luarnya turut mengecam sekeras-kerasnya perjanjian itu dan mengatakan UAE telah mengkhianati hak dan perjuangan rakyat Palestin.

Palestin tidak dapat manfaat

Artikel Berkaitan:

Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berpendapat, perjanjian normalisasi UAE dengan Israel itu hanya menguntungkan negara tersebut tetapi Palestin tidak mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

Katanya, walaupun Nyetanyahu mengeluarkan kenyataan akan menangguhkan pengambilan tanah penduduk Palestin di Tebing Barat, namun ianya cuma penangguhan sementara dan bukannya pembatalan secara keseluruhan.

“Apa yang dibimbangi ialah tindakan UAE itu akan melarat kepada negara Arab atau Islam yang lain di mana persepsinya adalah jika UAE boleh jalin hubungan diplomatik, maka kenapa tidak negara Islam yang lain,” katanya.

Selain itu, Azmi turut yakin pendirian Malaysia tidak akan terkesan dalam isu ini dan konsisten akan mempertahankan kepentingan Palestin terlebih dahulu sebelum sebarang pemulihan hubungan dengan Israel dilaksanakan.Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia menghormati pendirian UAE namun tetap menentang pelan unilateral oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambilan secara paksa sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Sementara itu, Azmi menjelaskan perjanjian antara UAE dan Israel itu akan digunakan oleh Trump sebaik mungkin dalam kempen pilihan raya kononnya pemulihan hubungan itu disebabkan kehebatan rundingan beliau.

Pilihan raya Presiden AS dijangka diadakan pada 3 November tahun ini.

Apa yang lebih membimbangkan, pemain utama di Timur Tengah iaitu Arab Saudi masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai pemulihan hubungan UAE dengan Israel.

Mungkin Arab Saudi sedang menunggu reaksi daripada negara-negara Islam lain terlebih dahulu memandangkan isu tersebut terlalu sensitif dan memerlukan kira-kira politik sebaik mungkin.

Inisiatif Damai Arab

Pada tahun 2002, Arab Saudi pernah menaja Inisiatif Damai Arab yang menuntut pengunduran sepenuhnya Israel daripada wilayah Palestin yang ditawan selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967, sebagai pertukaran pemulihan hubungan dengan negara-negara Islam.

Inisiatif itu diluluskan Liga Arab namun tidak pernah dilaksanakan kerana Israel enggan menyerahkan wilayah yang ditawan terbabit, malah memperbesarkan lagi penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Bagaimanapun pada tahun 2018, Arab Saudi membuka ruang udaranya kepada pesawat-pesawat komersil Israel buat pertama kali namun tindakan itu mendapat tentangan rakyatnya.

Dari kiri; Sheikh Mohammed, Trump dan Netanyahu didakwa mencapai kesepakatan untuk menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dan UAE. - Foto Agensi
Dari kiri; Sheikh Mohammed, Trump dan Netanyahu didakwa mencapai kesepakatan untuk menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dan UAE. - Foto Agensi

Setakat ini, Arab Saudi masih mengekalkan pendirian tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel.

Umum mengetahui, walaupun tanpa sebarang hubungan diplomatik, hubungan dagangan Israel dengan negara-negara Islam tetap dijalankan tetapi menggunakan pihak ketiga.

UAE tidak terkecuali dalam perkara ini. Beberapa tahun kebelakangan ini, hasrat UAE mahu menormalisasikan hubungan dengan Israel sudahpun kelihatan apabila negara itu mula menganjurkan pelbagai jenis persidangan terutamanya dalam sektor teknologi bersama wakil dari Israel termasuklah menjemput negara Yahudi itu secara rasmi menyertai Dubai Expo.

Berdasarkan laporan Global Edge pada tahun 2018, Israel mengeksport kira-kira AS$64,000 (RM268,380) barang dagangan ke UAE. Sebagai perbandingan, Israel mengeksport lebih AS$1.9 bilion (RM7.97 bilion) dan mengimport AS$6.2 bilion (RM26 bilion) produk dengan Turki pada tahun yang sama.

Jadi, selepas ini apakah negara Arab lain akan mengikut jejak langkah UAE?

Tindakan UAE keterlaluan

Berdasarkan laporan media di Israel, selepas UAE, mereka meramalkan Bahrain akan menjadi negara Arab seterusnya yang akan menormalisasikan hubungan dengan negara Yahudi itu.

Ia berikutan Bahrain dalam satu kenyataan rasmi sejurus selepas pengumuman Perjanjian Abraham menyambut baik tindakan UAE dengan menyifatkannya sebagai langkah untuk mengekalkan keamanan di Timur Tengah.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam isu Palestin, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan UAE telah mengetepikan hak rakyat Palestin dan melupakan segala kezaliman yang telah dilakukan oleh tentera Zionis sepanjang penjajahan mereka.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbuatan UAE secara langsung telah mengiktiraf negara Israel manakala perjuangan rakyat Palestin dianggap sebagai tidak sah.

“Kami tidak percaya perjanjian ini akan membawa kepada proses kedamaian. Israel adalah negara yang paling tidak boleh dipercayai. Israel tidak akan patuh kepada sebarang perjanjian.

“Hasilnya hanya akan memarakkan lagi konflik antara Arab dan Israel yang sudah berlanjutan sejak berdekad-dekad lamanya,” katanya.

Katanya lagi, tindakan UAE itubukan sahaja boleh memecah-belahkan negara Arab dalam OIC tetapi sekaligus menggugat kesatuan ummah kerana Israel sudah pasti akan menggunakan UAE untuk mempengaruhi negara Islam yang lain bagi mengiktiraf negara Yahudi tersebut.

“Sekarang inipun ada negara-negara Arab yang saling berpecah kerana mengadakan hubungan dengan Israel secara rahsia.

“Memang Israel menangguhkan sementara pelan pengambilan tanah, tetapi perlu diingat, pelan itu akan tetap dilaksanakan oleh Israel,” katanya.