Jaminan patuh SOP bagi elak penularan kes Covid-19

Pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura merupakan langkah untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kedua-dua negara terbabit yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Disember 2019.
Pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura merupakan langkah untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kedua-dua negara terbabit yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Disember 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura merupakan langkah untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kedua-dua negara terbabit yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Disember 2019.

Sehubungan itu, kepatuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) wajib dilaksanakan bagi mengelakkan penularan kes merebak atau wujudnya kluster baharu.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, bagi menjamin kepatuhan SOP, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang melalui hukuman dan denda mandatori.

Menurut beliau, penguatkuasaan hukuman dan denda mandatori merupakan pilihan terbaik ketika ini untuk mencegah ketidakpatuhan SOP.

“Kes baharu dan aktif sejak lima hari lalu dalam pola menaik di samping kewujudan kluster baharu di negeri sebelah utara Semenanjung Malaysia.

“Dilaporkan juga kewujudan strain virus Covid-19 yang berasosiasi dengan strain bermutasi yang mengakibatkan perebakan lebih cepat di dua kluster sebelum ini iaitu Sivagangga dan Ulu Tiram.

“Ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan, manakala di Singapura pula, daripada segi wabak didapati agak terkawal dan pola didapati menurun dengan angka kematian jauh lebih rendah berbanding Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerja Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sudah pasti mencetuskan kebimbangan rakyat.

Beliau menjelaskan, ia kemungkinan boleh berlaku kecuaian manusia ketika ujian saringan dilakukan ke atas individu yang merentas sempadan.

“Mungkin ada yang tidak bergejala dan tidak jujur mengenai tahap kesihatan seperti mengalami simptom berkaitan.

“Manusia sedikit sebanyak ada kecuaian maka diharapkan petugas kesihatan memberi perhatian serius perkara ini termasuk memastikan alat saringan sentiasa berfungsi dengan tepat.

“Kerajaan telah lakukan apa yang patut, maka individu yang dibenarkan rentas sempadan perlu bertanggungjawab termasuk sekiranya diarahkan menjalani kuarantin,” katanya.

Doktor Pakar Pekerjaan dan Perubatan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun pula berkata, kebarangkalian seseorang itu positif Covid-19 masih tinggi walaupun sudah menjalani saringan awal.

Beliau berkata, kes penularan Kluster Ulu Tiram dan Sivagangga membuktikan situasi tersebut.

“Kita risau ada individu yang bergejala atau tidak sihat tapi berpura-pura sihat ketika saringan di pintu sempadan kerana mahu masuk sempadan negara.

“Sudah pasti kita bimbang pembukaan sempadan ini akan mengeruhkan lagi situasi penularan di negara ini, atau kita mengulangi kesilapan sama,” katanya.