Jayakan konsep Malaysia Prihatin

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA amat memerlukan konsep ideologi dan formula penyatuan rakyat jelatanya sebagai panduan ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang kukuh.

Konsep dan formula penyatuan warga itu juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara pada setiap masa. Pengertian kemerdekaan bagi setiap bangsa dan negara yang dijajah kebiasaannya berkait dengan keinginan untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Perpaduan merupakan asas kepada pembinaan negara bangsa dan harus dipupuk amalannya dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Sekiranya kepelbagaian etnik menjadi punca percanggahan, suasana damai yang diimpikan dilihat sukar untuk dikekalkan andainya setiap etnik bersifat etnosentrik dan primodial.

Pergeseran antara etnik serta pemahaman tentang hak kesaksamaan harus dilihat secara realistik iaitu perlu diteliti daripada sejarah awal penubuhan sesuatu perlembagaan atau kontrak tersebut yang kita kenali sebagai Kontrak Sosial. Umumnya, Kontrak Sosial itu merupakan konsensus bersama antara etnik yang berbeza rasnya di Tanah Melayu untuk saling menerima, memahami, menghormati dan bertolak ansur mengenai status quo asing-masing. Asas permulaan pembinaan perpaduan di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan negara adalah melalui persetujuan bersama Kontrak Sosial dalam kalangan pemimpin Melayu dan bukan Melayu.

Ideologi atau doktrin negara yang bernama Rukun Negara digubal dan di laksanakan selepas berlaku peristiwa rusuhan etnik pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara daripada pelbagai etnik memikirkan cara untuk memulihkan perpaduan antara etnik supaya menjadi lebih utuh dan diperkasakan.

Hasil perbincangan serius yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN) maka lahirlah Rukun Negara, dan ia diwujudkan sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.

Rukun Negara mempunyai lima objektif. Antara objektifnya ialah pertama untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, kedua memelihara cara hidup demokratik, ketiga mencipta sebuah masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, keempat membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan mempunyai pelbagai corak dan yang kelima membina sebuah masyarakat yang progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

Amalan

Perpaduan nasional yang terhasil daripada pembentukan negara bangsa dan doktrin Rukun Negara itu selain semangat Malaysia Prihatin nyata berjaya merupakan satu matlamat utama dalam usaha membentuk negara yang teguh, bersatu padu, utuh dan selamat dalam jangka masa yang panjang.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mempunyai proses dan acuannya tersendiri untuk merangka perpaduan dan integrasi iaitu menerusi amalan demokrasi permuafakatan yang bertanggungjawab membentuk corak hubungan etnik di Malaysia.

Begitu juga dengan Rukun Negara, sekiranya membudayakan kelima- lima prinsip tersebut dapat diterapkan secara holistik, pasti sikap positif mengenai perwatakan nasional akan berjaya terbentuk dalam kalangan semua warganegara. Sehubungan itu, Rukun Negara yang dimanfaatkan untuk pembentukan perwatakan perpaduan nasional ini hendaklah dirancang dengan penuh hemat.

Sebagai generasi merdeka, kita sendiri amat yakin bahawa konsep ini akan berjaya mencapai matlamatnya jika ianya diterima oleh seluruh warganegara yang mengangkat tema bersatu dalam kepelbagaian terutamanya generasi pasca merdeka seperti kita.

Ini kerana teras kepada Konsep Malaysia Prihatin adalah pemupukan perpaduan rakyat Malaysia supaya mereka sentiasa berpegang teguh dan menjunjung tinggi seluruh prinsip asas pembinaan negara-bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukunegara.

Oleh sebab itu, seluruh generasi merdeka di Malaysia perlu diberikan penjelasan terperinci mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai kesimpulan, selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab adalah wajar berikrar untuk sama-sama menyumbang peranan bagi menjayakan usaha memasyarakatkan konsep Malaysia Prihatin, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukunegara selaras denganmerdekanya Malaysia yang ke-63 tahun dan berdoa agar tahun-tahun yang mendatang kita mengharapkan ia bakal menjanjikan warna-warna bahagia di hari muka dengan siri-siri kejayaan membugarkan.

* Ku Hasnan Ku Halim ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)