Malaysia tidak boleh berlengah

A
A
A

SETELAH banyak sektor ekonomi terjejas akibat koronavirus (Covid-19), Malaysia perlu mengubah cara pemikiran, pengurusan dan tindakan mengikut normal baharu.

Malaysia tidak boleh lagi diselubungi sindrom red-tape yang melengahkan urusan dan proses permohonan di jabatan kerajaan. Bukan bermaksud mengetepikan persoalan integriti, namun banyak boleh dilakukan bagi mengemas kini sistem dan data dalam membantu peniaga dan usahawan yang terjejas.

Malaysia juga tidak boleh berlengah lagi dalam merencana pendekatan pengurusan lebih proaktif dan berkesan. Walaupun Covid-19 belum berakhir, namun Malaysia perlu menangani pendekatan pengurusan normal baharu bagi memulihkan ekonomi melalui pendekatan quick-win.

Senario yang melanda seluruh dunia menuntut kita berubah ke pendekatan pendigitalan dan online dalam banyak aspek kehidupan. Namun peranan penjawat awam sebagai katalis bagi melonjakkan lagi pembangunan normal baharu juga perlu diberikan penumpuan khusus.

Penubuhan pasukan petugas untuk meneliti, mengubah sistem penyampaian penjawat awam yang diguna pakai selama ini bagi pemulihan ekonomi lebih pantas amat wajar dilakukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu adalah penting supaya pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19 tidak terbantut dengan kerenah birokrasi yang tidak perlu.

Menurut beliau, pakej rangsangan ekonomi bernilai RM295 bilion adalah pakej rangsangan paling besar dalam sejarah negara dengan sebahagian besarnya sudah diagihkan bagi memulihkan ekonomi kita ketika ini. Namun ia tidak mencukupi dan perlu ada tindakan susulan lain termasuk ubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.

Sebenarnya penjawat awam adalah instrumen penting bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang dengan rancak. Selain berperanan sebagai penggubal dasar ekonomi negara, sektor perkhidmatan awam turut bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju bagi keseluruhan ekonomi dengan kerjasama sektor swasta.

Artikel Berkaitan:

Sektor perkhidmatan awam Malaysia mempunyai rekod sejarah dan prestasi yang baik, dinilai melalui peranannya dalam pembangunan negara. Menurut laporan Worldwide Governance Indicators dari Bank Dunia, pencapaian Malaysia adalah setanding atau lebih tinggi berbanding negara lain di Asia Timur dalam melaksanakan tadbir urus.

Perubahan

Akibat Covid-19, landskap ekonomi telah berbeza. Tadbir urus dalam kerajaan tidak ada pilihan kecuali bersedia dengan perubahan sangat dinamik. Penjawat awam perlu mengkaji kembali dan menumpukan doktrin pengasingan kuasa, hindari rasuah, Saya Yang Menjalankan Amanah, melakukan perkara yang betul pada kali pertama, perkhidmatan yang mesra rakyat, berkhidmat secara profesional, integriti sentiasa diutamakan, pengurusan perubahan, kecekapan dan keberkesanan, tadbir urus yang baik, menguasai perkembangan teknologi serta tingkatkan kompetensi.

Pengurusan perubahan kini sepatutnya menjadi bidang tumpuan utama seluruh warga kerja dalam perkhidmatan awam. Pengurusan dan tindakan perubahan dilakukan hendaklah tidak menjejaskan langsung nilai amalan lain seperti memastikan perkhidmatan yang mesra rakyat, sentiasa profesional, keutamaan integriti, cekap, berkesan dan melakukan perkara yang betul pada pertama kali.

Perubahan dalam sektor awam ini amat penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat melalui sistem pencapaian berkesan. Ia bukan sekadar melaksanakan normal baharu namun berkaitan pendekatan spesifik bagi mengubah suai sistem dalam organisasi agar sentiasa mencapai matlamat ditetapkan.

Kini menjadi cabaran besar kepada kerajaan dan penjawat awam untuk memastikan penyampaian perkhidmatan, pengurusan sumber manusia, institusi dan fiskal kekal tidak terjejas.

Jika tidak ada langkah baharu dilakukan, dibimbangi segala urusan untuk kita memulihkan semula ekonomi negara tidak akan berlaku sepantas yang kita harapkan. Namun pengubahsuaian yang dilakukan perlulah tanpa kompromi aturan utama dan prosedur kewangan.

Pengurusan perubahan penting bagi membolehkan komponen kritikal sistem dan operasi terus kekal cekap, berkesan dan memberi faedah maksimum kepada seluruh rakyat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara