RUU Covid-19 lewat dibentangkan

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lepas, kerajaan telah membentangkan di Dewan Rakyat Rang Undang-undang (RUU) bertujuan mengurangkan impak wabak Covid-19 untuk bacaan kali pertama.

Menurut laporan media, RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 bertujuan untuk mengurangkan kesan kewangan dan sosial disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Negara lain telah pun menggubal undang-undang untuk menangani kesan Covid-19 yang telah merebak ke seluruh dunia. Jiran kita, Singapura contohnya telah meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang Covid-19 sejak bulan April lagi.

Selepas hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Walaupun angka kes baharu harian kita dalam kawalan, namun impak ekonomi dan kewangan ke atas rakyat dan negara sedang dirasai.

Minggu lepas telah dilaporkan bahawa ekonomi menguncup untuk suku kedua 2020. Kita juga sedang menyaksikan kadar pengganguran yang paling buruk dalam beberapa dekad.

Maka undang-undang khusus seperti RUU ini memang amat diperlukan. Malahan, ia sebenarnya diperlukan sejak bulan Mac lagi.

Malangnya, kerajaan hanya membentangkan RUU ini pada bulan Ogos. Sekiranya ia diluluskan oleh Dewan Rakyat sekalipun, ia masih perlu melalui Dewan Negara, yang hanya akan bersidang bulan September. Maka paling awal RUU ini boleh mendapat perkenan diraja dan berkuatkuasa adalah pada akhir September atau awal Oktober.

Bayangkan, Covid-19 yang melanda negara awal tahun ini, tetapi undang-undang hanya dikuatkuasa pada akhir September atau awal Oktober.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, banyak pihak mendesak kerajaan mengadakan sidang penuh pada bulan Mei lagi, supaya perkara berkenaan Covid-19 dapat dibincangkan dan undang-undang dapat dibentang dan digubal seberapa segara. Alasan kerajaan bahawa sidang penuh tidak dapat diadakan kerana wabak itu ternyatasukar diterima; bila dibandingkan dengan negara lain yang masih boleh mengadakan sidang dewan perundangan mereka walaupun dalam situasi wabak.

Kelemahan terbesar RUU ini adalah tidak memberi perlindungan kepada pihak yang masuk perjanjian (seperti perjanjian sewa premis) dan tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka bawah kontrak disebabkan Covid-19 (contohnya membayar sewa) jika mana-mana pihak telah menamatkan perjanjian itu sebelum kuatkuasanya undang-undang yang mahu digubal itu.

Jadi jika ada yang diusir keluar daripada premis sewa, dia tidak dapat bergantung pada undang-undang ini.

Apa yang akan terjadi adalah orang yang paling terkesan tidak dilindungi oleh RUU ini. RUU ini hanya sekadar melepaskan batok di tangga.

Oleh sebab keengganan kerajaan mengadakan sidang Parlimen seberapa segera dahulu, kini kita berada dalam situasi di mana undang-undang yang ingin digubal tidak dapat memberi perlindungan kepada yang benar-benar memerlukan.

Akhirnya yang merana adalah rakyat, kerana RUU ini terlalu lewat dibentangkan. Semua disebabkan kerajaan tidak mahu mengadakan sidang Parlimen pada awal tahun.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur