Polis serah kertas siasatan anak Mat Sabu kepada DPP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis telah mengambil dan merakam keterangan daripada semua pihak.

“Apa yang boleh saya katakan, siasatan telah selesai dan kini menunggu pihak DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan selepas positif ganja dalam serbuan di pusat hiburan eksklusif di Jalan Ampang di sini.

Ahmad Saiful kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan lain, Mazlan memberitahu pihaknya kini giat mengesan seorang lelaki warga Ireland yang dilaporkan hilang pada 29 Disember lalu.

Menurutnya, lelaki dikenali sebagai Stephen Warde, 32, itu kali terakhir dilihat berada di Mercu Summer Suite, Jalan Sultan Ismail di sini sehari sebelum dilaporkan hilang.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan mendapati Stephen masuk ke Malaysia pada 15 November 2018, seorang diri dan dipercayai masih berada di negara ini.

"Dia menyewa sebuah rumah di Kuala Lumpur dan siasatan ke atas rumah itu mendapati semua barangnya masih terdapat di sana. Difahamkan, Stephen menyewa rumah itu sehingga 29 Januari ini," katanya.

Terdahulu, laporan media antarabangsa menyatakan Stephen hilang di Malaysia selepas anggota keluarganya gagal menghubunginya sejak tiga minggu lepas.