Bedak sejuk warisan keluarga

Zaimah mewarisi tradisi dalam pembuatan bedak sejuk secara manual di Kampung Jalan Baru, Balik Pulau baru-baru ini.
Zaimah mewarisi tradisi dalam pembuatan bedak sejuk secara manual di Kampung Jalan Baru, Balik Pulau baru-baru ini.
A
A
A

BALIK PULAU - Generasi kini mungkin tidak berapa tahu atau berminat dengan bedak sejuk kerana ia lebih sinonim dengan orang dahulu yang gemar memakainya tidak kira di rumah atau ke kebun dan sebagainya.

Namun, bagi Zaimah Jamaluddin, 46, bedak sejuk merupakan tradisi nenek moyang yang perlu dipelihara agar tidak ditelan zaman.

Zaimah berkata, idea menghasilkan bedak sejuk tradisional ini timbul ketika dia berkunjung ke rumah saudaranya di Kedah.

Wanita dari Kampung Jalan Baru, Balik Pulau itu telah memulakan perniagaan tradisi nenek moyang itu sejak tahun 2004.

Dia berkata, antara jenis bedak sejuk yang dihasilkan adalah bedak sejuk gamat, kulit rambai, aloe vera, susu kambing dan bedak sejuk biasa.

“Setiap jenis bedak sejuk yang dihasilkan ini mempunyai kelebihan masing-masing dalam bidang kesihatan. Bedak sejuk ini mempunyai kelebihan alam semulajadi yang mana ia dicampur dalam ramuan bedak sejuk untuk mendapatkan khasiatnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai proses penghasilan bedak sejuk tradisional tersebut, Zaimah berkata, ia bukan proses terlalu rumit namun perlu diikut turutannya bagi mengekalkan kualitinya.

"Beras perlu direndam untuk melembutkannya selama tiga bulan sehingga dua tahun. Bekas rendaman beras itu perlu ditukar air setiap masa bagi mengelakkan ia busuk. Setelah proses merendam cukup tempoh, beras akan dikisar dan ditapis sebelum direndam semula selama lima hari.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu, beras yang dikisar akan digaul semula dengan air untuk dititikkan di atas kain menggunakan kain putih sebelum dijemur menggunakan alam semula jadi iaitu pada cahaya matahari.

"Ketika dijemur, bedak sejuk akan mula mengering dan menjadi bentuk tirus. Ia kemudian akan ditoreh menggunakan pisau untuk menghasilkan bentuk yang lebih menarik. Untuk haruman semula jadi, saya akan mencampurkannya dengan daun pandan. Ada juga saya campur bahan lain untuk haruman mengikut jenis bedak sejuk," katanya.

Bedak sejuk aloe vera ini sudah siap untuk dijual kepada pelanggan.
Bedak sejuk aloe vera ini sudah siap untuk dijual kepada pelanggan.

Wanita yang mempunyai lima orang anak ini berkata, hasil bedak sejuk yang sudah siap akan dijual secara online selain dihantar ke kedai berhampiran.

Tambahnya, dia mempunyai perancangan untuk mengkomersialkan perniagaannya itu di peringkat lebih tinggi.

"Saya sudah menjalankan perniagaan ini sejak 16 tahun lalu tetapi secara kecilan sahaja namun sejak mempromosikan jualan atas talian seperti di Facebook dan Instagram, jualan bedak sejuk sudah mula diterima ramai termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Saya bercita-cita untuk mengeksport bedak sejuk saya ini namun pengeluaran yang mampu saya buat amat terhad kerana saya masih menggunakan cara manual namun saya bersyukur, pendapatan perniagaan sampingan saya ini mempu meraih RM400 hingga RM500 sebulan," katanya.