Hafizh Syahrin kemalangan di GP Austria

Hafizh Syahrin mengalami kemalangan di perlumbaan Moto2 di Austria.
Hafizh Syahrin mengalami kemalangan di perlumbaan Moto2 di Austria.
A
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin yang mewakili Team Aspar Racing mengalami kemalangan pada Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.

Hafizh Syahrin mengalami kemalangan berkenaan setelah merempuh jentera yang ditinggalkan pelumba Itali, Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team, yang terjatuh akibat gagal mengawal jentera yang ditunggangnya itu.

Keadaan itu turut menyebabkan dua lagi pelumba; Edgar Pons dari Sepanyol dari pasukan Federal Oil Gresi dan Andi Farid Izdihar dari Indonesia (Idemitsu Honda Team Asia).

Bagaimanapun menerusi tangkap layar yang dimuat naik Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali sebentar tadi, mengesahkan pelumba berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan berkenaan.

Hafizh Syahrin difahamkan telah dibawa ke pusat perubatan bagi menerima rawatan lanjut.

Untuk rekod, kemalangan itu dipercayai berpunca setelah pelumba Itali dari pasukan Italtrans Racing Team, Enea Bastianini gagal mengawal jenteranya sebelum terjatuh.

Bastianini bagaimanapun sempat meninggalkan trek dengan segera sebelum dirempuh pelumba-pelumba lain termasuk Hafizh Syahrin.

Kemalangan itu memaksa bendera merah dikibarkan di trek berkenaan bagi menandakan perlumbaan dihentikan seketika.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Twitternya mengesahkan Hafizh Syahrin dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan wakil kementerian di Austria untuk memberi sebarang bantuan.

"Saya baru terima khabar tentang kemalangan @Hafizh_pescao55 daripada Dato Razlan Razali sebentar tadi dan Alhamdulillah, beliau dalam keadaan sedar," katanya.