Tidak boleh berniaga, menjaja sesuka hati: Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas menyampaikan lesen kepada penjaja di Kawasan Perindustrian Batu Muda hari ini. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas menyampaikan lesen kepada penjaja di Kawasan Perindustrian Batu Muda hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saya tidak mahu ada satu isyarat yang salah seolah-olah semua orang boleh menjaja di mana-mana saja, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian susulan kelonggaran aktiviti penjaja ke atas warga kota bagi membantu rakyat yang terjejas dan hilang pekerjaan susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Annuar berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan tidak menimbulkan isu berbangkit termasuk gangguan trafik dan kacau ganggu.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mengambil pendekatan 'bypass' meluluskan permohonan penjaja secara terus sebaliknya akan menyerahkan kepada DBKL yang akan menentukan sesuatu lesen itu diluluskan atau sebaliknya.

"Ada hantaran di Facebook mempersoalkan tindakan penguat kuasa halang berniaga sedangkan menteri kata boleh berniaga dan menjaja.

"Itu memang betul tetapi saya kena jelaskan bahawa proses penguatkuasaan akan dijalankan sepanjang masa. Penguatkuasaan adalah mustahak bagi menentukan perkara yang dibolehkan atau sebaliknya," katanya selepas penyerahan lesen penjaja di Batu Muda hari ini.

Terdahulu tular rakaman video tindakan penguat kuasa DBKL merampas jualan penjaja di Taman Tasik Titiwangsa kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kaedah nasihat dan saranan mohon lesen adalah cadangan dikemukakannya kepada DBKL dalam membantu penjaja berniaga.

Artikel Berkaitan:

"Jika penguat kuasa jumpa penjaja yang meniaga di tempat tidak sepatutnya atau tiada lesen, kita kena galakkan mereka dapatkan lesen yang merupakan pendapatan kepada DBKL.

"DBKL bantu peniaga, jika kawasan itu tak boleh berniaga cuba cari tempat ganti sebelum diberikan lesen dan bolehlah dikenakan syarat.

"Kalau ada lesen, rekod maklumat ada dengan kita, apabila peniaga tak patuhi syarat kita boleh batalkan lesen dan boleh selesaikan masalah peniaga rambo," katanya.

Mengulas berhubung aktiviti penjajaan di Taman Tasik Titiwangsa Annuar berkata, pihaknya telah mengarahkan DBKL untuk memanggil penjaja terlibat untuk menyelesaikan perkara tersebut menerusi perbincangan.

"Pada masa sama, saya minta barang yang disita itu dikembalikan dan diberikan juga surat peringatan perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan bagi aktiviti penjajaan di kawasan itu.

"Saya dah siasat bukan salah penguat kuasa kerana telah dikeluarkan notis awal dan sehari sebelum tindakan diambil.

"Cuma banyak benda yang boleh kita perelokkan lagi...Insya-ALLAH kita akan ambil pendekatan terbaik bantu peniaga di sana dengan cari tempat yang sesuai supaya mereka boleh berniaga," katanya.