Benda boleh bincang, kata Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

TANJUNG MALIM - Hasrat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang boleh dibincangkan secara dalaman atas semangat adik-beradik.

Menurut Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kata sepakat mengenai perkara itu boleh dicapai memandangkan mereka berdua daripada 'keluarga' yang sama di UMNO Bahagian Rembau.

"Ini perkara yang boleh kita bincang sebab Datuk Seri Mohamad dan saya dari Bahagian yang sama, beliau Ketua UMNO Rembau dan saya Timbalan Ketua UMNO.

"Jadi biarlah kita bincang secara adik-beradik dalam keluarga Rembau dan dalam perbincangan itu nanti bolehlah kita buat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih di Felda Besout 2 di sini hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Ketika ditanya kesediaan beliau melepaskan kerusi Parlimen berkenaan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, perkara itu perlu mengambil kira perbincangan semua pihak.

"Biarlah saya bincang dengan Datuk Seri (Mohamad) dahulu, tak perlulah kita komen di luar," katanya.

Terdahulu, Mohamad dilapor sedia bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 dan memberi jaminan bahawa Khairy Jamaluddin akan diberikan kerusi yang boleh menjamin kemenangannya dalam pilihan raya itu.

Artikel Berkaitan: