X

Kindly register in order to view this article
!

Pas puji MBSA mudahkan urusan penjaja kecil

Hanafi Zulkapli
A
A

SHAH ALAM - Pas memuji langkah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memudahkan urusan peniaga dan penjaja kecil di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh menerusi program penyusunan semula peniaga dan penjaja yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, usaha MBSA itu merupakan langkah terbaik dan perlu diadakan secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Mana yang baik untuk rakyat, kita sokong dan setuju. Pada saya, langkah MBSA ini satu langkah yang tepat dalam membantu peniaga dan penjaja yang terkesan.

"Apa yang dilakukan ini bukan hanya di Sungai Buloh, malah perlu diperluaskan di kawasan-kawasan yang lain," katanya pada sidang akhbar selepas Muktamar Pemuda Pas kali ke-54 di Dewan Grand Airiz, Sungai Buloh di sini hari ini.

Hanafi berkata, Pemuda Pas negeri juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik turun ke Sungai Buloh melihat situasi yang berlaku di situ.

"Pelbagai pihak turun melihat keadaan sebenar. Tak kurang juga yang menawarkan penyelesaian bagi membantu dalam hal melibatkan peniaga.

"Saya fikir usaha ini satu tindakan yang matang. Tidak memikirkan perseteruan politik, sebaliknya mengangkat isu masyarakat itu sebagai soal utama," katanya.

Terdahulu, MBSA menganjurkan program penyusunan semula peniaga untuk memberikan taklimat serta penerangan kepada peniaga serta penjaja di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh berkaitan perkhidmatan MBSA.

Perkhidmatan tersebut termasuk membabitkan permohonan permit penjaja sementara dan permohonan tambahan pindaan seperti sengkuap (awning).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!