Aktiviti di Felda Bukit Rokan berjalan seperti biasa

Veerapan
Veerapan
A
A
A

TAMPIN - Semua aktiviti di Kampung Felda Bukit Rokan, Gemencheh di sini berjalan seperti biasa biarpun terdapat dua kes baharu koronavirus (Covid-19) dilaporkan di kawasan berkenaan semalam.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan, Koperasi dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, penduduk di kawasan terbabit dibenarkan melakukan kerja harian mereka seperti biasa termasuk kerja-kerja di ladang dengan syarat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Tiada sekatan jalan dilakukan dan tiada juga jalan kampung yang ditutup. Penduduk boleh melakukan aktiviti harian mereka seperti biasa.

"Kes pertama positif Covid-19 di Bukit Rokan setakat ini diklasifikasikan sebagai kes import. Kes kedua merupakan kontak kepada kes pertama. Ini merupakan kes terpencil, maka semua aktiviti dan pergerakan masih diteruskan seperti biasa.

"Namun begitu, orang ramai diingatkan agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan terdapat dua kes baharu Covid-19 melibatkan dua lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai penoreh dan tukang rumah di kawasan itu.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk tindakan lanjut.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, tiada kes baharu Covid-19 dicatatkan di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan: