235 individu ditahan ingkar PKPP: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 235 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,daripada jumlah itu, 15 individu telah direman manakala 220 individu pula dikenakan kompaun.

“Polis juga telah mengadakan 65 sekatan jalan raya di seluruh negara dan telah memeriksa 25,019 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata,bermula 24 Julai hingga semalam, seramai 11,384 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua mereka telah ditempatkan di 57 hotel dan lima Institut Latihan Awam.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,295 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Menurut beliau, semalam pihak polis juga telah memeriksa 405 individu yang menjalani kuarantin wajib di rumah dan mendapati kesemua mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata,Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 677 premis perniagaan termasuk peruncit (515), pemborong (132) dan pengilang (30).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

Artikel Berkaitan:

“Pegawai KPDNEHP juga telah melakukan 676 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 675 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala satu premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP,” katanya.

Berhubung Ops Sanitasi Awam pula, sebanyak lapan operasi sanitasi meliputi lapan zon termasuk satu zon kuning dan tujuh zon hijau melibatkan tiga buah negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Johor dilakukan semalam, katanya.

Beliau berkata,Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di lima tapak pembinaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 10 penguat kuasa.

“Pemeriksaan mendapati kesemua tapak pembinaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama