Jenazah Abd Rahman Arshad akan dikebumikan di Masjid Tanah, Melaka

Abd Rahman Arshad
Abd Rahman Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah tokoh pendidik terkemuka negara yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abd Rahman Arshad, 84, akan dimandi dan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Ampang, Selangor hari ini.

Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti Pejabat Pendaftar UiTM Shah Alam dalam satu kenyataan berkata, selepas disolatkan, jenazah akan dibawa ke Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk dikebumikan.

"Dukacita dimaklumkan YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Hj Abdul Rahman Arshad, Pro Canselor UiTM telah kembali ke Rahmatullah pada 16 Ogos 2020 (Ahad).

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman," katanya.

Terdahulu, Abd Rahman disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.

Berita sedih itu turut dikongsi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi akaun Instagram miliknya kira-kira dua jam lalu.

Allahyarham dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002 dan meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Noor Hayati Mohamed.

Allahyarham berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia lebih 30 tahun bermula sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menjadi Timbalan Pengarah Pendidikan di Pulau Pinang dan Kedah dan beberapa tahun selepas itu dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Pendidikan sebelum bersara pada November 1991.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham juga pernah menjadi diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand.

Abdul Rahman turut diberikan kepercayaan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi tahun 2014 hingga 2016.