Mohd Zaidi punyai peluang cerah untuk menang

Saifuddin (kiri) mendengar penerangan ketika melawat gerai pameran pada Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 di Kuantan hari ini.
Saifuddin (kiri) mendengar penerangan ketika melawat gerai pameran pada Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 di Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz mempunyai peluang cerah untuk menang berbanding dua lawannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Mohd Zaidi mempunyai kekuatan kerana beliau merupakan anak tempatan dan dikenali ramai, apatah lagi begitu aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Mohd Zaidi adalah calon paling tepat, mempunyai masa depan politik panjang dan kredibiliti dalam kepimpinan berdasarkan penyertaannya sebagai aktivis," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 di sini hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, selaku wakil daripada Perikatan Nasional (PN), beliau pasti akan bersama-sama kepimpinan BN untuk turun padang berkempen bagi memastikan kemenangan Mohd Zaidi.

"Saya ada 'sentimental value' dengan Mohd Zaidi kerana beliau pernah bersama-sama saya sewaktu terlibat sebagai aktivis sesuatu ketika dahulu.

"Jadi, sudah pasti saya akan membantunya untuk berkempen, begitu juga dengan rakan parti daripada PN," katanya.

Pada PRK berkenaan, Mohd Zaidi, 43, akan berhadapan dengan dua calon Bebas.

Seorang daripada calon Bebas itu ialah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan simbol pokok.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42, yang merupakan seorang bekas guru menggunakan simbol buku.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh PRK DUN Slim.