Pemuda Pas sambut baik, alu-alukan penyertaan Bersatu

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mengalu-alukan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, keputusan itu sudah tentu disambut baik oleh semua pihak khususnya Pemuda Pas dalam usaha mengukuhkan lagi kestabilan politik tanah air demi keharmonian serta kemakmuran rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, hasrat itu sesuai dengan penegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas, UMNO dan Bersatu tidak boleh dipisahkan untuk menyatukan Melayu Islam sebagai kelompok majoriti dalam komposisi masyarakat di Malaysia.

"Pun begitu, penyatuan tiga parti Melayu terbesar ini bukanlah suatu bentuk pertembungan 'Melayu vs bukan Melayu'.

"Justeru itu, masyarakat bukan bumiputera tidak perlu bimbang dengan penyatuan ini. Bahkan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sehingga kini membuktikan bahawa sentimen tersebut hanyalah ‘fearmongering’ (ketakutan) yang cuba dibawa oleh pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Dalam perutusan beliau semalam, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dan pemangku Pengerusi Bersatu mengumumkan untuk menyertai MN.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata, apa yang penting, Islam mestilah menjadi teras perjuangan yang memayungi kerjasama itu agar keadilan Islam dapat dirasai oleh semua pihak tanpa terkecuali.

"Saya juga menyambut baik ingatan Tan Sri (Muhyiddin) bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa hanyalah sementara yang tidak patut dibanggakan, bahkan digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat.

"Justeru, para pemimpin di dalam MN dan PN mestilah menjaga reputasi bahtera ini tanpa diselaputi isu penyalahgunaan kuasa serta masalah integriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru pengukuhan di peringkat akar umbi diperkasakan dengan semua pihak mestilah berlapang dada serta menginsafi apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, situasi ketika itu memperlihatkan betapa perpecahan parti-parti berteraskan Melayu-Islam merugikan dan memberi pengajaran pahit kepada mereka semua.