Pendengaran permohonan gabung kes Rosmah, Rizal ditangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan pendakwaan untuk menggabungkan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor bersama kes rasuah bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor untuk dibicarakan bersama, hari ini, ditangguhkan ke tarikh lain.

Ini berikutan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya tidak dapat membuat permohonan itu hari ini kerana status permohonan untuk memindahkan kes rasuah yang dihadapi Rosmah, 67, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi belum lagi diketahui.

“Terdapat permohonan daripada pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Rosmah ke Mahkamah Tinggi dan pendengaran berhubung perkara itu ditetapkan pada 15 Mac, justeru kami tidak dapat meneruskan pendengaran untuk menggabungkan kes tersebut hari ini,” katanya di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada prosiding bagi mendengar permohonan lisan untuk kes itu dibicarakan bersama.

Sri Ram berkata pihaknya tidak dapat membuat permohonan untuk menggabungkan ketiga-tiga kes itu selagi kes rasuah yang dihadapi Rosmah tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tiada bantahan dikemukakan barisan peguam yang mewakili Rosmah berhubung perkara itu.

Bagaimanapun peguam Manjeet Singh Dhillon memberitahu pihaknya mahu Sri Ram mengemukakan sijil pelantikannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Manjeet berkata pihaknya akan membuat permohonan berhubung sijil pelantikan Sri Ram yang juga peguam terkenal itu dalam masa terdekat, sebelum tarikh pengurusan kes selanjutnya.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 21 Mac untuk pengurusan kes bagi pendengaran permohonan menggabungkan kes dan mendapatkan sijil pelantikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Rosmah hadir di mahkamah hari ini ditemani suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelaki mereka, Mohd Ashman.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Atas pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal, 45, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah berhubung projek sama. - Bernama